Wanita perlu ada harta sendiri

Wanita perlu ada harta sendiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Beberapa tahun lalu, Mariyah Yaakob tular di media sosial dengan panggilan ‘Mak Cik Kemboja’ selepas membuat kenyataan kontroversi mengenai orang Melayu dan orang Kemboja.

Beliau juga dikenali sebagai wanita yang sangat garang dan panas baran.

Namun, itu semua hanyalah karakter yang dipamerkan di media sosial.

Wanita berusia 50 tahun ini sebenarnya sangat merendah diri dan mesra, cuma daripada nadanya kedengaran jelas beliau seorang yang tegas.

Senang rasanya dapat berbual ketika kami bersua muka tempoh hari.

Walaupun baru sahaja melalui episod duka keruntuhan rumah tangga, namun aura positifnya jelas terpancar.

Tampil langsing dalam persalinan rona krim dan ungu, bibirnya tidak lekang mengukir senyuman manis.

“Manusia ada masanya lemah, ada masanya kuat. Bahkan saya sendiri, ada saat saya kuat, ada saat saya rapuh.

“Namun, di depan orang, saya tetap berdiri teguh kerana saya tidak akan biarkan sesiapa pun melihat kelemahan dan menindas saya.

“Perpisahan, kehilangan atau diuji dengan suami yang pergi, semua itu pasti berlaku pada waktunya. Itu adalah perjalanan yang normal dalam hidup,” katanya kepada Seri.

Namun, yang lebih menarik mengenai figura ini adalah semangat juangnya dalam berniaga sehingga mampu mengubah nasib keluarga.

Daripada anak tukang mesin rumput yang hidup sederhana, beliau mampu memiliki bangunan perniagaan bernilai RM4 juta dengan hasil kerja kerasnya.

Hanya menamatkan pendidikan sekolah rendah, beliau memegang prinsip semangat dan keazaman adalah kunci kejayaan.

“Kalau awak ada pelajaran, itu satu bonus. Tapi kalau awak kuat semangat, awak boleh lakukan apa sahaja,” katanya.

Semangat berniaga anak sulung daripada dua adik-beradik ini sudah dipupuk sejak kecil.

Ketika masih bersekolah, beliau menjual kacang pedas kepada rakan-rakan, sambil memerhatikan ibunya yang melakukan pelbagai kerja kampung untuk menyara mereka sekeluarga.

Kesungguhan itu berterusan sehingga beliau mula bekerja di pusat kecantikan wajah di Johor Bahru pada usia 15 tahun.

Beliau sanggup berkorban untuk menimba ilmu mengenai kecantikan dan perkhidmatan pelanggan walaupun bayarannya tidak seberapa.

“Walaupun gaji RM150, saya lebih mementingkan ilmu daripada duit. Ketika itu juga saya mula sedar minat saya lebih kepada bidang kecantikan,” ujarnya.

Daripada pengalaman itu, Mariyah bukan sahaja belajar tentang produk kecantikan tetapi juga pengurusan perniagaan.

Selepas beberapa tahun, beliau bertemu dengan seorang kenalan yang memberikan modal kecil untuk memulakan perniagaan sendiri.

Bermula daripada jualan kecil-kecilan seperti jamu, beliau berusaha membina asas perniagaan.

Sinar harapan itu muncul semasa mengedar produk kosmetik legenda, SirnaSari yang terkenal di era 90-an.

Daripada situlah beliau belajar selok-belok pemasaran, pengurusan stok dan strategi penjualan.

JATUH BANGUN DUNIA PERNIAGAAN
Impian Mariyah untuk mempunyai perniagaan sendiri akhirnya tercapai dengan penubuhan kilang jahit pukal miliknya.

Namun, panas yang disangka hingga ke petang rupanya hujan di tengah hari. Perniagaan itu tidak dapat diteruskan dek industri fesyen berkembang terlalu pantas.

Namun, wanita ini enggan mengalah. Berbekalkan modal RM10,000 yang tinggal di dalam akaun bank, beliau mula merancang membangunkan perniagaan berasaskan kecantikan pula.

“Kebetulan saya berjumpa dengan pemilik Sirnasari dan saya tawarkan diri untuk mempromosikan dan jual produknya di Tiktok saya.

“Malam itu juga, beribu terjual sehingga melebihi stok yang ada.

“Daripada komisen itulah saya kumpul untuk bangunkan produk suplemen kecantikan di bawah jenama baharu, AURAMARIA,” jelasnya.

Produk sulungnya yang terkenal ialah Kopi Che’Lims yang dirumus khas sebagai solusi kecantikan.

“Kopi ini sesuai untuk penjagaan kecantikan bagi lelaki dan wanita. Paling penting, ia tidak membuatkan pengguna, pening atau berdebar,” kongsinya.

Kopi itu turut melalui ujian makmal, halal dan diproses di syarikat milik bumiputera Muslim, bagi memastikan kualiti dan niat murni membantu ekonomi komuniti Islam.

Dalam masa tiga bulan sejak dilancarkan Ogos lalu, 500,000 sachet terjual walaupun stok terhad.

Produk itu juga dihasilkan dengan misi membantu mengembalikan keyakinan diri wanita.

“Saya mahu memberi semangat kepada semua wanita di luar sana, terutamanya yang sedang rasa lemah semangat. Bangkitlah, segarkan diri dan hargai diri sendiri.

“Kita semua unik. Jangan abaikan apa yang kita ada dan jangan malas menjaga diri.

“Walaupun tiada lelaki di sisi, jangan jadikan alasan untuk mengabaikan diri. Jaga diri, rambut, kulit dan kesihatan.

“Bangun dengan penuh keyakinan kerana setiap langkah menjaga diri adalah tanda hormat kepada diri sendiri,” katanya.

Setiap pelancaran produk dijalankan dengan dedikasi.

Daripada pengurusan stok, pembungkusan, hingga pemasaran secara langsung di platform digital seperti TikTok semuanya diselia dengan teliti.

Katanya, keyakinan terhadap produk sendiri adalah kunci menarik pelanggan.

BANTU IBU TUNGGAL
Selain kejayaan peribadi, Mariyah menumpukan perhatian untuk memberi impak positif kepada wanita lain.

Salah satu inisiatif utama beliau ialah program sokongan untuk ibu tunggal, bertujuan membantu menjana pendapatan dan berdikari.

Dalam misi ini, Mariyah menekankan prinsip setiap wanita perlu memiliki kebebasan kewangan.

“Jangan harap duit keluarga atau suami. Wanita kena ada duit sendiri. Bila ada duit, baru kita ada nilai di mata orang.

“Lagi pula, kita tidak tahu apa akan jadi dalam rumah tangga di masa hadapan. Nasib akan lebih terjamin jika wanita ada duit sendiri” tegasnya.

Program ini bukan sekadar memberikan peluang menjual produk Auramaria, tetapi juga membimbing ibu tunggal daripada segi motivasi, keyakinan diri dan strategi perniagaan.

Kata Mariyah, pengalaman peribadi sebagai ibu tunggal dan cabaran hidup yang dilalui memberikan kekuatan unik untuk memahami dan membantu wanita lain.

Dengan pendekatan ini, setiap ibu tunggal berpeluang meningkatkan ekonomi diri dan membina keyakinan yang hilang akibat dugaan hidup.

 

FILOSOFI KEJAYAAN
Setiap hari, beliau mendedikasikan masa berjam-jam untuk memastikan jualan dan promosi berjalan lancar.

Malah, wanita ini sering melakukan siaran langsung di TikTok, berinteraksi dengan pelanggan dan memantau perkembangan jualan sendiri.

Baginya, masa adalah aset paling berharga dan memanfaatkan setiap saat dengan bijak adalah kunci untuk maju dalam perniagaan.

“Tiada istilah putus asa dalam berniaga. Setiap masalah adalah peluang yang Allah beri,” jelasnya.

Prinsip ini juga diterapkan dalam mendidik anak-anaknya agar berdikari, memahami selok-belok perniagaan dan menghargai usaha ibu mereka.

Justeru, anak sulungnya, Ezuan Hafsham Mohd. Hisyam dan anak keduanya bakal mengikuti jejak langkahnya sebagai penerus legasi perniagaan, manakala anak ketiganya sedang meneruskan pengajian untuk bergelar pakar kulit.

Mariyah bukan sahaja berjaya membina empayar perniagaan, tetapi juga menjadi teladan kepada wanita yang menghadapi kesukaran hidup.

Beliau membuktikan latar belakang sederhana atau cabaran peribadi bukan penghalang untuk mencapai kejayaan.

Berbekalkan usaha, disiplin dan kepercayaan kepada diri sendiri serta Allah, setiap wanita mampu bangkit dan berjaya.

Melalui Auramaria, beliau bukan sahaja mencipta jenama yang berjaya, tetapi juga memberi peluang dan inspirasi kepada wanita lain untuk berdikari.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×