PETALING JAYA: Pasukan teknikal Jabatan Kerja Raya (JKR) diarah segera menjalankan penilaian awal terhadap tahap kerosakan dan keselamatan struktur bangunan sekolah yang terbakar di Baling, Kedah hari ini.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, ia bagi memastikan keselamatan semua pihak terjamin sebelum sebarang kerja pembaikan atau pemulihan dapat dijalankan.
“Keutamaan ketika ini adalah memastikan keselamatan menjadi aspek utama serta menilai tahap keselamatan struktur bangunan terlibat.
“Saya telah mengarahkan pasukan teknikal JKR untuk turun ke lokasi sebaik sahaja situasi disahkan selamat oleh pihak berkuasa bagi menjalankan penilaian awal,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebuah blok bangunan sekolah di Baling dilaporkan terbakar hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Penolong Penguasa Bomba Zulkhairi Mat Tanjil berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kebakaran itu pada pukul 10.46 pagi.
Katanya, kejadian itu disedari orang awam yang kemudian datang ke balai bomba untuk memaklumkan insiden.
Alexander berkata, kementeriannya bersama Kementerian Pendidikan (KPM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta pihak berkuasa tempatan (PBT) akan memastikan tindakan susulan dilaksanakan secara teratur termasuk kerja pembaikan dan langkah keselamatan yang diperlukan.
“Sebarang perkembangan lanjut mengenai insiden berkenaan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya. – UTUSAN











