Potret Frida Kahlo terjual AS$54.7 juta, pecah rekod lelongan artis wanita - Utusan Malaysia

Potret Frida Kahlo terjual AS$54.7 juta, pecah rekod lelongan artis wanita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Sebuah potret karya artis Mexico terkenal, Frida Kahlo, terjual pada harga AS$54.7 juta (RM226.6 juta) dalam lelongan seni di New York, mencatatkan rekod baharu bagi karya seorang artis wanita.

Potret berjudul El sueño (La cama) atau The Dream (The Bed), yang dilukis pada 1940, menggambarkan Kahlo sedang tidur di atas katil dengan rangka tersenyum yang dibaluti bahan letupan di kanopi katil di atasnya.

Karya ini terjual pada malam Khamis di lelongan seni Surealis Sotheby’s selepas empat minit bidaan sengit.

Harga jualan itu termasuk yuran, melebihi rekod sebelum ini yang dipegang oleh Georgia O’Keeffe dengan karya Jimson Weed/White Flower No. 1, yang terjual pada AS$44.4 juta (RM184 juta) di Sotheby’s pada 2014.

Karya ini dijangka dijual pada harga antara AS$40 (RM165.7 juta) hingga AS$60 juta (RM248.6 juta). Jualan AS$54.7 juta ini juga memecahkan rekod seni Amerika Latin yang sebelumnya dipegang oleh lukisan Kahlo, Diego y Yo (Diego dan Saya), yang terjual pada AS$34.9 juta (RM144.6 juta) pada 2021.

Lukisan itu menggambarkan Kahlo bersama suaminya, muralis Diego Rivera.

Potret ini merupakan antara beberapa karya Kahlo yang kekal dalam tangan peribadi di luar Mexico, di mana keseluruhan karya beliau telah diisytiharkan sebagai monumen seni.

Karya Kahlo dalam koleksi awam dan peribadi di Mexico tidak dibenarkan dijual ke luar negara atau dimusnahkan.

Lukisan ini adalah daripada sebuah koleksi peribadi yang pemiliknya tidak didedahkan dan layak dijual secara sah di peringkat antarabangsa.

Sesetengah sejarawan seni membangkitkan isu budaya berhubung penjualan ini, manakala yang lain bimbang karya yang terakhir dipamerkan pada akhir 1990-an itu mungkin sekali lagi hilang daripada pandangan awam selepas lelongan.

Ia telah diminta untuk dipamerkan dalam pameran di bandar-bandar seperti New York, London dan Brussels. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×