PARLIMEN: Tiada pesawat MAS rosak, hanya diselenggara - MOT

PARLIMEN: Tiada pesawat MAS rosak, hanya diselenggara – MOT

HASBI HABIBOLLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan (MOT) menegaskan, tiada pesawat Malaysia Airlines Berhad (MAS) yang digantung operasi akibat kerosakan.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, sebaliknya pesawat yang tidak beroperasi ketika ini berada dalam proses penyelenggaraan berkala mengikut keperluan keselamatan industri penerbangan.

Katanya, semua keputusan berkaitan pembaikan dan operasi pesawat adalah urusan komersial Malaysia Aviation Group (MAG) dan tidak melibatkan perbelanjaan kementerian.

“MAG merupakan entiti perniagaan yang beroperasi secara komersial di mana segala keputusan berkaitan operasi adalah keputusan korporat yang dibuat berdasarkan keperluan operasi syarikat.

“Oleh yang demikian, kos pembaikan dan penyelenggaraan adalah ditanggung sepenuhnya oleh pihak MAG sebagai sebahagian daripada kos operasi,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Dr. Mohammed Taufiq Johari (PH–Sungai Petani) mengenai jumlah pesawat MAS yang tidak beroperasi akibat kerosakan serta kos yang ditanggung kementerian.

Dalam pada itu, kata Hasbi, negara juga mempunyai seramai 4,113 orang jurutera pesawat tempatan yang diiktiraf Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

“Kerajaan sentiasa komited untuk memastikan sektor penerbangan negara dibekalkan dengan tenaga jurutera yang bukan sahaja mencukupi dari segi bilangan, tetapi juga dari aspek kemahiran dan kesiapsiagaan.

“Kerajaan akan terus memantau perkembangan industri, memperkukuh kerjasama dengan institusi latihan dan sektor swasta bagi memastikan keselamatan dan kecekapan operasi penerbangan negara sentiasa terjamin,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×