KAJIAN yang dilakukan di Eropah mendapati satu daripada enam orang yang terdedah kepada pencemaran udara mendapat penyakit mental, dan 7.2 peratus penduduknya menderita kemurungan yang kronik. Pendedahan berpanjangan kepada pencemaran udara dikenalpasti menyebabkan pelbagai penyakit mental yang lain seperti keresahan (anxiety), bipolar disorder dan risiko membunuh diri. Situasi ini juga menyebabkan penurunan fungsi mental dan meningkatkan risiko demensia dan Alzheimer’s kepada warga emas.
Walaubagaimanapun, pengaruh pencemaran udara terhadap kesihatan mental bukan hanya berlaku kepada orang dewasa. Kanak-kanak dan remaja merupakan kumpulan paling berisiko kerana otak mereka masih berkembang. Kajian menunjukkan pendedahan kepada asap kenderaan dan habuk halus sejak usia kecil boleh menjejaskan perkembangan kognitif, keupayaan tumpuan, dan meningkatkan simptom kebimbangan serta masalah tingkah laku.
Kajian di Australia mendapati bahawa kanak-kanak yang terdedah kepada tahap zarah halus yang tinggi semasa dalam kandungan dan pada tahun pertama kehidupan mempunyai risiko lebih tinggi mengalami masalah emosi, hiperaktif dan kesukaran belajar.
Walaupun belum banyak data tempatan mengenai kaitan antara pencemaran udara dan kesihatan mental kanak-kanak di Malaysia, komuniti berpendapatan rendah yang tinggal berhampiran kawasan industri dan lebuh raya atau jalan utama jelas menunjukkan pendedahan yang tinggi kepada pencemaran udara yang boleh meningkatkan risiko gangguan mental. Selain risiko fizikal, mereka turut berdepan tekanan hidup yang boleh memperburuk keadaan mental.
Langkah seperti meningkatkan penggunaan tenaga bersih, memperketat undang-undang pelepasan industri, memperluas ruang hijau bandar, serta mendidik masyarakat tentang kesan udara tercemar perlu digiatkan. Individu juga boleh memainkan peranan dengan mengurangkan pembakaran terbuka, menggunakan pengangkutan awam dan menyokong dasar mesra alam.
Kesihatan mental adalah aset penting negara. Jika udara yang kita hirup terus tercemar, maka minda masyarakat turut terancam. Menjaga udara bermakna menjaga ketenangan fikiran, kesejahteraan keluarga, dan masa depan generasi akan datang. – UTUSAN
DR. SITI NURSHAHIDA NAZLI
Pensyarah Kanan, Jabatan Kesihatan Persekitaran, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Pulau Pinang, Kampus Bertam











