KUALA LUMPUR: Persediaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) dan usaha negara dalam membangunkan ekonomi hidrogen dijangka menjadi antara tumpuan utama persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat Parlimen, Rodiyah Sapiee (GPS-Batang Sadong) meminta Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi menjelaskan insentif kerajaan bagi mempercepat pembangunan ekonomi hidrogen yang memerlukan penggunaan tenaga sangat tinggi.
Sementara itu, Mohd Azizi Abu Naim (PN-Gua Musang) meminta penjelasan Menteri Kerja Raya berhubung persediaan bagi memastikan Jalan Persekutuan dan cerun berada dalam keadaan selamat sepanjang musim MTL.
Pada sesi sama, S. Kesavan (PH-Sungai Siput) turut mengemukakan soalan kepada Menteri Pendidikan mengenai status pelaksanaan sekolah terapung di Hulu Perak serta hala tuju memperluaskan inisiatif itu pada masa akan datang.
Dalam perkembangan lain, Mohd Misbahul Munir Masduki (PN-Parit Buntar) meminta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyatakan jumlah remaja hamil tanpa nikah sejak 2020 serta langkah pencegahan yang sedang dilaksanakan.
Datuk Seri Hishammuddin Hussein (BN-Sembrong) meminta Menteri Kesihatan menjelaskan usaha menangani kekurangan bekalan dan kenaikan harga ubat asas serta strategi jangka panjang pengukuhan industri farmaseutikal tempatan.
Isu-isu lain yang turut dibangkitkan termasuk usaha mengatasi kekurangan bekalan dan kenaikan harga ubat asas serta pelantikan bekas tentera dan polis sebagai warden Maktab Rendah Sains MARA (MRSM).
Turut menjadi perhatian ialah status pengoperasian pesawat Malaysia Airlines (MAS), termasuk jumlah pesawat rosak, kos ditanggung kerajaan serta kecukupan jurutera tempatan bagi memastikan penyelenggaraan berjalan lancar.










