Untung bersih Johor Plantations naik kepada RM105.8j pada suku ketiga - Utusan Malaysia

Untung bersih Johor Plantations naik kepada RM105.8j pada suku ketiga

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Johor Plantations Group Berhad (JPG) mencatatkan peningkatan untung bersih sebanyak 38.5 peratus kepada RM105.8 juta pada suku ketiga tahun kewangan berakhir 30 September 2025 daripada RM76.4 juta pada suku sama tahun sebelumnya, didorong oleh permintaan pasaran yang lebih baik dan pengurusan kos yang berkesan.

Hasil JPG bagi suku yang sama naik 22.8 peratus kepada RM496.2 juta, berbanding RM404.1 juta pada suku yang sama tahun lalu.

Prestasi pada suku ini terutama disokong oleh sumbangan yang lebih kukuh daripada segmen huluan kumpulan dengan hasil minyak sawit mentah (MSM) meningkat 20.8 peratus daripada RM339.5 juta kepada RM410.0 juta, dipacu oleh harga dan jumlah jualan yang lebih tinggi; dan

Sementara itu, hasil isirung sawit (PK) melonjak 36.0 peratus daripada RM61.4 juta kepada RM83.5 juta, disokong oleh permintaan yang lebih kukuh dan jumlah jualan yang lebih tinggi.

Bagi tempoh sembilan bulan pertama pula, keuntungan bersih kumpulan meningkat 45.5 peratus kepada RM256.4 juta, berbanding RM176.2 juta pada tahun sebelumnya, disokong oleh prestasi yang lebih kukuh merentasi semua sektor.

Sementara itu, kumpulan mencapai pertumbuhan hasil 16.5 peratus kepada RM1.23 bilion, didorong oleh jumlah jualan dan harga jualan yang lebih tinggi.

Pengarah Urusannya, Mohd Faris Adli Shukery berkata, prestasi suku ketiga mencerminkan asas JPG yang kukuh serta kemajuan berterusan dalam melaksanakan strategi jangka panjang.

Katanya, peningkatan merentasi segmen utama, bersama pembangunan Kompleks Minyak Sawit Lestari Bersepadu di Sedili yang berjalan mengikut jadual menunjukkan kekuatan model bersepadu kumpulan serta kesiapsiagaan untuk fasa pertumbuhan lestari seterusnya.

“Selain itu, sumbangan hasil luaran yang lebih kukuh membantu mengimbangi sedikit penurunan dalam pengeluaran sembilan bulan pertama tahun ini berbanding tahun lalu.

“Dengan peningkatan hasil, permintaan yang kukuh dan pengoptimuman berterusan dalam operasi kami, kami yakin dapat menyampaikan prestasi yang lebih baik pada 2025,” katanya dalam kenyataan.

Sebagai pengiktirafan terhadap keputusan kukuh ini, lembaga pengarah JPG mengisytiharkan dividen interim satu peringkat sebanyak 1.75 sen sesaham.

Sejak penyenaraian JPG pada Julai 2024, ini merupakan pengagihan dividen suku tahunan keenam berturut-turut, menjadikan jumlah keseluruhan dividen sebanyak 9.25 sen. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×