Daftar pelarian beri harapan hidup lebih baik – ERCA

Daftar pelarian beri harapan hidup lebih baik – ERCA

Laporan UTUSAN MALAYSIA 19 November 2025
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Komuniti Rohingya menyambut baik keputusan kerajaan mendaftarkan semua pelarian di negara ini melalui Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP), sekali gus memberi harapan baharu hidup yang lebih baik kepada mereka yang sekian lama berdepan pelbagai kekangan.

Pengerusi Jawatankuasa Etnik Rohingya Arakan Malaysia (ERCA), Mohd. Rafiq Khairul Bashar berkata, langkah itu amat dinanti-nantikan kerana ia dapat mengurangkan kebergantungan terhadap kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), yang didakwa sering gagal membantu pelarian terutama dalam situasi kecemasan.

“Pelarian seperti kami hanya mampu melakukan pekerjaan berupah rendah seperti menyapu longkang, memotong rumput, bekerja di pasar serta menjadi pembantu di restoran demi menyara keluarga.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kami buat semua kerja yang orang tempatan tak mahu buat. Tapi hidup kami tetap susah. Tiada dokumen, tiada jaminan masa depan.

“Anak-anak pelarian tidak dibenarkan bersekolah di sekolah kerajaan, sehingga kami mencari alternatif menubuhkan sekolah persendirian untuk memastikan kanak-kanak mendapat pendidikan asas serta didikan agama.

“Kami buka sekolah kecil sendiri. Ajar mereka mengaji dan menghormati orang lain. Itu sahaja yang kami mampu sediakan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kerajaan akan mendaftarkan semua ­pelarian di negara ini, termasuk etnik Ro­hingya, melalui Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) sele­wat-lewatnya Januari 2026 ba­gi mendapatkan data sebenar selain me­ngelak bergantung se­penuh­nya kepada UNHCR.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, selama ini negara bergantung kepada UNHCR yang diragui ketepatannya, justeru tidak dapat dipastikan sama ada maklumat mereka tepat atau kemungkinan jumlah sebenar lebih tinggi daripada laporan.

Mengulas peranan UNHCR, Rafique yang menetap selama 27 tahun di negara ini mendakwa, badan antarabangsa itu tidak lagi aktif membantu, terutama dalam situasi kecemasan seperti sakit tenat atau kematian.

“Bila ada yang meninggal, UNHCR tidak datang. Mereka suruh isi borang dalam talian, tapi sistem susah dan lambat. Kami rasa seperti dibiarkan.

“Pelarian terpaksa menanggung kos rawatan yang tinggi di klinik dan hospital kerajaan.

“Pergi klinik pun RM150. Ada kad UNHCR atau tidak, sama sahaja. Di Hospital Serdang, mereka minta deposit RM2,000. Mana kami nak cari duit? Sampai terpaksa meminjam dengan rakan-rakan lain,” jelasnya.

Menurutnya, ada pelarian yang tidak mampu membayar sewa rumah selama tiga bulan selepas pendapatan terputus, manakala bantuan komuniti hanya mencukupi untuk keperluan asas.

Paling meruntun jiwa kata Mohd. Rafique, mayat pelarian yang meninggal dunia sukar dikebumikan kerana ketiadaan dokumen rasmi.

“Hidup kami susah tetapi apabila mati pun masih tidak diterima. Kadang-kadang mayat terpaksa menunggu lama (untuk dikebumikan) sebab tiada dokumen.

“Saya berharap pendaftaran melalui DPP kelak dapat memberi sedikit kelegaan kepada komuniti pelarian yang sudah sekian lama menetap di negara ini.

“Kami bukan minta banyak. Cuma mahu hidup seperti manusia lain, ada pendidikan untuk anak-anak dan rawatan bila sakit. Itu sahaja,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN