PETALING JAYA: Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berstatus halal berpeluang memperkukuh amalan kelestarian mereka melalui kerjasama strategik antara MBSB Berhad (MBSB) dan Asia Carbonx Change Plt (Asia Carbonx Change).
Kerjasama ini bertujuan menyediakan laluan praktikal bagi PKS halal untuk memenuhi syarat pensijilan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).
Melalui inisiatif ini, perniagaan bersijil halal akan mendapat akses kepada alat tenaga boleh diperbaharui yang diiktiraf serta sokongan bagi persediaan pensijilan, pematuhan dan mengekalkan daya saing sejajar dengan evolusi standard kelestarian.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBSB, Rafe Haneef berkata, PKS Halal kini semakin dituntut untuk menunjukkan amalan ESG yang lebih kukuh, namun ramai menghadapi cabaran untuk memahami keperluan dan mengakses alat yang dipercayai.
“Melalui kerjasama ini, kami menyediakan laluan praktikal bagi PKS memulakan perjalanan ESG mereka,” katanya.
Melalui integrasi Sijil Tenaga Boleh Diperbaharui (REC) dalam Program Pembiayaan Kelestarian Islamik MBSB, perniagaan yang menggunakan tenaga solar dapat mengakses REC yang disahkan, sekali gus mengurangkan pelepasan karbon Skop 2 dan memperkukuh pelaporan kelestarian.
Inisiatif ini menawarkan beberapa kelebihan kepada PKS halal, antaranya ialah margin pembiayaan sehingga 100 peratus, tiada modal pendahuluan bagi pelanggan layak, akses kepada REC untuk pelaporan pengurangan karbon dan peluang pengewangan REC bagi pelanggan solar layak.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Asia Carbonx Change, Ir. Nirinder Singh Johl berkata, misinya adalah menjadikan kelestarian boleh diakses semua pihak.
“Kerjasama ini membolehkan PKS mendapat manfaat daripada REC yang diiktiraf antarabangsa, menyokong pelaporan telus dan tindakan iklim yang terukur. Kami berharap lebih banyak perniagaan Malaysia dapat terlibat dalam ekonomi hijau,” katanya.
Setakat ini, MBSB telah menggerakkan RM4.73 bilion dalam pembiayaan lestari, bersamaan 47 peratus daripada sasaran RM10 bilion menjelang 2026 di bawah Rangka Kerja Pembiayaan Lestari dan Peralihan, termasuk komitmen RM1 bilion untuk pembiayaan solar.
Asia Carbonx Change berperanan sebagai orang tengah yang dilantik MBSB untuk mendaftar, mengeluarkan, mengurus dan menebus REC bagi pihak pemilik aset solar serta pelanggan MBSB yang berkelayakan, termasuk memastikan pematuhan kepada piawaian antarabangsa I-REC(E) dan I-Track bagi menjamin kesahihan setiap sijil. – UTUSAN











