PETALING JAYA: MNRB Holdings Berhad (MNRB) mencatatkan peningkatan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak 51.8 peratus kepada RM280.7 juta bagi enam bulan pertama tahun kewangan 2026 berakhir 30 September 2025, berbanding RM184.9 juta pada tempoh sama tahun sebelum.
Peningkatan itu terutamanya disokong oleh pertumbuhan pendapatan insurans/takaful, amalan penjaminan risiko yang berhati-hati, pengalaman tuntutan yang menggalakkan dan prestasi pelaburan yang lebih baik serta persekitaran operasi yang stabil sepanjang tempoh semakan.
Jumlah pendapatan kumpulan pula meningkat 9.5 peratus kepada RM1.9 bilion daripada RM1.7 bilion pada separuh pertama 2025, mencerminkan pertumbuhan menyeluruh dan kekuatan portfolio pelbagai MNRB.
Presiden Sementara dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MNRB, Datuk Rudy Rodzila Che Lamin berkata, keputusan separuh tahun pertama itu mencerminkan kekuatan pelaksanaan strategik dan daya tahan model perniagaan kumpulan.
Katanya, pertumbuhan dua digit dalam metrik utama menunjukkan keberkesanan portfolio pelbagai, penjaminan risiko terpilih dan pengurusan modal yang berdisiplin.
“Kami terus memajukan agenda transformasi digital dan kelestarian, menegaskan komitmen kami terhadap inovasi, kecekapan, fokus pelanggan dan penciptaan nilai jangka panjang.
“Peningkatan langganan kepada platform perkhidmatan kendiri dalam talian kami menunjukkan penglibatan pelanggan yang lebih kukuh dan keyakinan semakin meningkat terhadap kemampuan digital kumpulan.
“Usaha kami untuk memasukkan pertimbangan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) tertentu dalam operasi dan keputusan pelaburan juga menyokong aspirasi kami untuk mencapai organisasi karbon bersih menjelang 2050,” katanya dalam kenyataan.
Pendapatan insurans/takaful meningkat 11.5 peratus kepada RM1.7 bilion daripada RM1.5 bilion pada separuh pertama 2025 didorong oleh pengembangan berterusan segmen takaful am dan retakaful.
Keputusan perkhidmatan insurans/takaful pula meningkat 24.6 peratus kepada RM271.5 juta daripada RM217.9 juta pada separuh pertama 2025, terutamanya dipacu oleh unit reinsurance, mencerminkan prestasi penjaminan risiko yang lebih kukuh dan pertumbuhan portfolio yang menguntungkan.
Sementara itu, prestasi pelaburan terus menjadi pemacu utama pendapatan, dengan keputusan pelaburan meningkat kepada RM326.7 juta, 2.4 kali ganda lebih tinggi daripada RM135.1 juta setahun sebelumnya.
Peningkatan itu sebahagian besarnya disokong oleh keuntungan kukuh daripada peruntukan ekuiti kumpulan kerana peningkatan pendapatan ekuiti dan sentimen pasaran yang positif.
Pulangan bon juga kekal menggalakkan, disokong oleh persekitaran kadar faedah yang lebih rendah di seluruh portfolio.
Selain itu, Pulangan Ekuiti Tahunan (ROE) MNRB, tidak termasuk keuntungan nilai wajar daripada pelaburan dan kesan pertukaran mata wang asing meningkat kepada 11.5 peratus daripada 9.9 peratus pada separuh pertama 2025.
Dalam pada itu, bagi suku kedua, MNRB melaporkan PAT sebanyak RM112.3 juta, meningkat 21 peratus daripada RM92.7 juta yang dicatat pada suku kedua 2025.
Peningkatan tersebut disokong oleh pertumbuhan pendapatan yang lebih tinggi dan prestasi pelaburan yang kukuh.
Jumlah pendapatan pula meningkat 5.5 peratus tahun ke tahun kepada RM927.6 juta daripada RM878.8 juta pada suku kedua 2025, disokong oleh sumbangan lebih kukuh daripada segmen takaful am, retakaful dan takaful keluarga. – UTUSAN









