KPDN Kuala Lumpur rekod 546 kes, nilai rampasan cecah RM4.5j

KPDN Kuala Lumpur rekod 546 kes, nilai rampasan cecah RM4.5j

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebanyak 546 kes membabitkan pelbagai kesalahan direkodkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan nilai rampasan keseluruhan mencecah RM4.5 juta.

Jumlah setakat bulan Oktober itu hasil pelaksanaan pemeriksaan intensif terhadap 34,566 premis di 11 kawasan Parlimen di seluruh Kuala Lumpur oleh 100 anggota penguat kuasa yang ditugaskan.

Pengarahnya, Mohd. Sabri Seman berkata, antara rampasan terbesar direkodkan pada penghujung bulan lalu di kawasan Petaling Street membabitkan nilai RM700,000 manakala sebahagian besar rampasan tahun ini melibatkan barangan tiruan dan tong gas LPG.

“Setakat ini, nilai kompaun turut merekodkan lebih RM700,000 dengan jumlah denda RM179,928,” katanya pada sidang akhbar sempena Majlis Apresiasi Rakan Strategik KPDN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Mohd. Sabri berkata, pihaknya menerima 8,424 aduan pengguna setakat Oktober iaitu antara jumlah tertinggi berbanding negeri lain dan dijangka mencecah 10,000 aduan menjelang akhir tahun.

Katanya, daripada jumlah itu, aduan berkaitan harga mengelirukan direkodkan sebagai kategori paling tinggi melibatkan isu harga tidak jelas, tidak dipamerkan dengan tepat atau berbeza daripada harga dibayar.

“98 peratus daripada jumlah keseluruhan aduan telah berjaya diselesaikan dalam tempoh 24 jam,” ujarnya. 

Dalam pada itu, katanya, sebanyak 1,242 Program Jualan Rahmah Madani telah dilaksanakan di seluruh Kuala Lumpur meliputi lima kaedah pelaksanaan iaitu premis, luar premis, bergerak, pasar serta kampus universiti. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×