53 individu bawah umur tunggang, bonceng motosikal ditahan JPJ KL

53 individu bawah umur tunggang, bonceng motosikal ditahan JPJ KL

HAMIDI Adam (dua dari kanan) sedang memeriksa penunggang motorsikal yang ditahan pada Operasi Satria Jalanan, di Ibu Pejabat JPJ Kuala Lumpur, di sini hari ini. UTUSAN/ SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seramai 53 individu bawah umur ditahan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) atas pelbagai kesalahan membabitkan menunggang atau membonceng motosikal dalam Operasi Satria berhampiran Taman Koperasi Polis Fasa 1 dan 2, di sini semalam.

Operasi bermula pada 5.30 petang hingga 7.30 malam melibatkan keseluruhan 39 anggota merangkumi 23 anggota JPJ termasuk Unit Falcon serta 16 anggota Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur bagi membendung aktiviti menunggang secara berbahaya, khususnya melibatkan remaja bawah umur di kawasan perumahan.

Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Hamidi Adam berkata, mereka terdiri daripada 12 lelaki dan empat perempuan berusia bawah 14 tahun serta 29 lelaki dan lapan perempuan berusia bawah 16 tahun.

Katanya, dalam operasi itu, sebanyak 277 motosikal diperiksa dan 65 daripadanya dikenakan tindakan serta 546 notis saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

“Kebanyakan mereka tidak memiliki sebarang lesen L, lesen P serta lesen CDL (lesen memandu kompeten), sementara 90 motosikal dikesan tidak mempunyai cukai jalan, lesen kenderaan motor atau insurans, manakala 42 motosikal didapati melakukan ubah suai ekstrem, termasuk mengubah struktur, ekzos dan sistem brek.

“JPJ turut mengesan kesalahan lain seperti nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi (16), lampu tidak berfungsi (21), sistem brek rosak atau ditanggalkan (15), cermin sisi tiada (14), tayar botak (13) dan 75 kesalahan kerana tidak memakai topi keledar,” katanya dalam sidang akhbar selepas operasi itu di Ibu Pejabat JPJ Kuala Lumpur di sini.

Menurutnya, pihaknya mendapati kawasan itu juga dijadikan litar tidak rasmi oleh kumpulan penunggang muda terbabit menduga kelajuan motosikal mereka.

Jelasnya, operasi berfokus itu digerakkan susulan peningkatan aduan awam berhubung aktiviti tunggangan motosikal ekstrem serta aksi berbahaya seperti superman, wheelie, zig-zag dan perlumbaan haram yang sering berlaku pada waktu petang dan malam.

“Kita turut menahan seorang pelajar lelaki tingkatan satu berusia 13 tahun setelah didapati menunggang motosikal secara berbahaya dan tanpa lesen.

“Hasil risikan dan pemantauan selama dua minggu itu mendapati remaja terbabit kerap melakukan aktiviti menduga kelajuan menggunakan motosikal milik ibunya di kawasan perumahan berkenaan, sekali gus membahayakan dirinya serta pengguna jalan raya lain.

“Remaja tersebut ditahan ketika sedang asyik menunggang motosikal tanpa sebarang dokumen sah. Pemeriksaan lanjut mendapati kenderaan itu digunakan bagi tujuan menduga kelajuan,” katanya.

Hamidi berkata, sekiranya pemilik ingin menuntut semula motosikal yang disita, mereka perlu melangsaikan saman dan mengembalikan motosikal kepada keadaan asal dan jika ia tidak dituntut dalam tempoh tiga bulan, JPJ akan memohon kepada mahkamah untuk pelucuthakan.

“Setakat 14 November tahun ini, JPJ Kuala Lumpur telah mengeluarkan 46,314 notis saman atas pelbagai kesalahan melalui operasi penguatkuasaan yang dijalankan sejak Januari, termasuk 101 kes melibatkan pemandu bawah umur,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×