MELAKA: Seorang pemuda maut selepas kereta Toyota GR86 dipandunya memasuki laluan bertentangan dan merempuh sebuah bas henti-henti, BAS.MY di Jalan Krubong menuju Sungai Badau di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.35 pagi itu, pemandu kereta berusia 26 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah bahagian dalaman dan kepala.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Timbalan Penguasa Bomba II Mohd. Hafidzatullah Rashid berkata, panggilan kecemasan diterima pada pukul 7.40 pagi dan sepasukan enam anggota bersama sebuah jentera dikejarkan ke lokasi.
“Sebaik tiba pada pukul 7.47 pagi, pasukan dapati pemandu Toyota GR86 telahpun meninggal dunia manakala pemandu bas berusia 34 tahun tersepit di bahagian pemandu dan mengalami kecederaan pada kaki serta tangan kiri.
“Kedua-dua mangsa berjaya dikeluarkan sebelum diserahkan kepada pihak polis dan petugas Kementerian Kesihatan (KKM) untuk tindakan lanjut,” katanya hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila Toyota GR86 yang datang dari arah lampu isyarat One Krubong menuju Krubong Perdana hilang kawalan sebelum masuk ke laluan bertentangan.
“Kereta itu kemudian melanggar bahagian hadapan bas yang datang dari arah Krubong Perdana menghala ke Melaka Sentral.
“Impak kuat menyebabkan keseluruhan kereta remuk teruk dan pemandunya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Bagaimanapun ketika kejadian tiada penumpang menaiki bas berkenaan,” katanya.
Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat dan rakaman kamera papan pemuka bas telah diperoleh bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN










