KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan telah memberi tiga tumpuan khusus iaitu bekalan elektrik, air dan jalan demi kesejahteraan rakyat Sabah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan menyalurkan RM1.2 bilion bagi memastikan masalah elektrik selesai dalam tempoh satu hingga dua tahun.
Katanya, selain itu lebih RM1 bilion telah diperuntukkan untuk menangani isu bekalan air dan ia dijangka diselesaikan tahun depan di samping projek Pan Borneo akan dipercepatkan
Menurut beliau, kestabilan politik, hubungan diplomatik antarabangsa dan dasar ekonomi inklusif adalah kunci kepada kekuatan Malaysia termasuk Sabah.
“Kalau kita mahu jaga negara, mahu jaga Sabah, kita mesti pilih wakil kerajaan yang mahu bekerja untuk rakyat. Ekonomi mesti nombor satu,” katanya dalam Ceramah Perdana dan Makan Malam Bersama Masyarakat Cina Kota Kinabalu di sini hari ini.
Perdana Menteri berkata, Malaysia kini dihormati dunia kerana kestabilan ekonomi dan politik, malah hubungan baik dengan semua negara membuka peluang keyakinan pelabur.
“Kita negara kecil tapi dunia hormat kita. Bukan saya minta telefon mereka, tapi mereka yang hubungi kita. Ini penghormatan kepada rakyat Malaysia,” katanya merujuk panggilan daripada Perdana Menteri Kemboja, Perdana Menteri Thailand dan Presiden Amerika Syarikat baru-baru ini.
Mengulas isu tuntutan 40 peratus hasil Sabah, Anwar menegaskan Kabinet sebulat tidak membuat rayuan terhadap tuntutan itu.
“40 peratus itu hak Sabah. No argument. Kita tidak appeal (rayuan). Yang appeal ialah kes lain. Tapi masih ada pihak hentam. Apa lagi yang mahu kita buat?” katanya.
Beliau turut menolak dakwaan bahawa kerajaan Persekutuan tidak memberikan peruntukan mencukupi kepada Sabah.
“Kita berikan RM17 bilion, tertinggi di negara untuk elektrik, air, banjir, jalan, sekolah, hospital dan projek pengangkutan. Jangan kata kita tidak buat apa-apa,” katanya.-UTUSAN











