PETALING JAYA: Sebarang pembayaran yang diputuskan hasil rundingan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah berhubung tuntutan 40 peratus nanti perlu mewartakan atau dinotifikasikan mengikut keperluan undang-undang.
Peguam, Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin berkata, pewartaan tersebut penting agar segala persetujuan yang diputuskan tidak lagi menjadi polemik berpanjangan, sekali gus memberi jaminan bahawa hak negeri itu seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dipelihara secara sah.
Katanya, langkah menggazetkan keputusan juga dilihat dapat mengukuhkan keyakinan rakyat Sabah terhadap komitmen kerajaan dalam menyelesaikan isu berkaitan tuntutan hasil negeri tersebut.
“Semua perkara (hasil 40 peratus) telah pun termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Apa yang diperlukan ialah bagaimana keputusan itu nanti dilaksanakan oleh kerajaan.
“Justeru jumlah pembayaran yang diputuskan nanti perlu digazettkan atau dinotifikasikan tanpa perlu meminda Perlembagaan Persekutuan dan sebagainya,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Kelmarin Anwar ketika sidang Dewan Rakyat memaklumkan, Kementerian Kewangan melalui Perbendaharaan telah menghantar surat rasmi kepada kerajaan sementara Sabah bagi memulakan rundingan teknikal berhubung pemberian khas 40 peratus hasil negeri itu, sebelum terbentuknya kerajaan baharu selepas Pilihan Raya Negeri (PRN).
Beliau berkata, langkah itu menandakan komitmen kerajaan untuk memperkukuh pelaksanaan hak-hak Sabah seperti termaktub dalam Perkara 112 Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Dalam pada itu, Firoz yang menyifatkan tindakan kerajaan untuk mengadakan perundingan itu sebagai sesuatu yang wajar bagi memastikan penyelesaian isu berkenaan dapat dicapai secara teratur mengikut kerangka perundangan sedia ada.
Katanya, kerajaan juga perlu bersifat jujur melibatkan sumbangan sebenar negeri Sabah terhadap hasil negara dan jumlah yang dikembalikan di bawah Perlembagaan Persekutuan, khususnya Artikel 112C dan 112D.
“Sekiranya terdapat obligasi untuk membayar 40 peratus, maka secara tersirat ada obligasi untuk menentukan sumbangan Sabah,” jelasnya.
Sementara itu, pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sabah (UMS) Dr. Romzi Ationg berkata, langkah kerajaan untuk mengadakan rundingan bukan bersifat politik semata-mata.
Sebaliknya, kata beliau, ia dibuat bagi memastikan pemberian tersebut selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan mengikut prinsip fiskal negara.
“Cuma di Sabah ini, menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN), ia tidak dilihat sebagai sebahagian urusan pentadbiran sebaliknya menjadi alat politik bagi parti-parti yang bertanding,” ujarnya. – UTUSAN










