Melihat ke kediaman teres setingkat ini terasa aura tenang dan lapang menyambut setiap tetamu.
Kediaman milik pasangan Mohd. Noorazlanshah Abu Bakar dan Siti Hajar Abdul Rahman ini diolah dengan begitu teliti untuk memaksimumkan setiap ruang, tanpa mengorbankan gaya mahupun keselesaan.
Konsep yang menjadi nadi utama kediaman ini ialah moden dengan sentuhan Scandinavian, yang menekankan kesederhanaan, ketenangan dan fungsi.
“Kami memilih konsep ini kerana kami sukakan ruang yang kelihatan lapang walaupun saiz rumah terhad.
“Perabot yang minimalis dan sederhana juga memudahkan pergerakan dan menjadikan rumah terasa lebih teratur,” kata Siti Hajar kepada Seri.
Menurutnya, rumah bukan sekadar indah dipandang, tetapi juga mudah dijaga dan selesa untuk didiami setiap hari.
Palet warna neutral menjadi teras keseluruhan dekorasi. Warna putih, beige, kelabu lembut dan tona kayu oak menjadi asas yang menyatukan suasana dari ruang ke ruang.
Dinding berwarna kelabu lembut memberi kesan tenang dan moden, manakala lantai bertona kayu oak menambah kehangatan visual.
Perabot pula dipilih dalam rekaan ringkas dengan garisan kemas dan tidak terlalu banyak hiasan agar ruang tidak kelihatan sarat.

“Kelebihan konsep ini ialah ia mudah dikemas, tidak mudah nampak berselerak dan membantu ruang kecil kelihatan lebih luas kerana hanya perabot penting yang digunakan.
“Walaupun rumah terletak di tengah-tengah deretan teres, suasana masih terasa terang dan lapang,” ujarnya.
Susun atur rumah ini dirancang dengan sangat praktikal.
Ruang tamu dan ruang makan diatur terbuka, membolehkan pengudaraan dan pencahayaan semula jadi mengalir dengan bebas. Dapur pula menjadi ruang kegemaran pasangan ini.
Direka dengan sistem storan maksimum dan susun atur efisien, setiap perkakas mudah dicapai dan mudah dikemas.
“Di sinilah kami banyak menghabiskan masa. Memasak, makan bersama anak-anak dan berbual. Ia ruang yang paling ‘hidup’ di rumah,” kongsinya.
Menariknya, proses menghias rumah ini bukan sesuatu yang berlaku dalam sekelip mata.
Ia adalah perjalanan berterusan yang berkembang seiring masa dan keperluan keluarga.
Setiap sudut dihias sedikit demi sedikit, dengan inspirasi yang diambil daripada Pinterest, Instagram serta kunjungan ke bilik pameran dekorasi.
Pendekatan ini membolehkan pasangan ini benar-benar memahami gaya yang sesuai dengan kehidupan seharian.
Daripada segi penyelenggaraan pula, kunci utama ialah kerajinan dan berterusan.
Rutin membersih setiap hari dalam tempoh singkat membantu mengekalkan keadaan rumah yang kemas tanpa perlu menunggu hujung minggu untuk mengemas besar-besaran.
Rumah sederhana ini menunjukkan melalui perancangan warna, material dan susun atur yang bijak, ruang terhad boleh tampil luas, selesa dan menenangkan.-UTUSAN










