Inovasi sekolah bukan milik sekolah kaya sahaja

Inovasi sekolah bukan milik sekolah kaya sahaja

PIHAK berkuasa pendidikan perlu memastikan inovasi tidak menjadi simbol kemewahan semata-mata tetapi lambang kecekapan dan daya cipta.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM dunia pendidikan, inovasi menjadi kata kunci kemajuan dan keberkesanan sistem pembelajaran.

Program inovasi di sekolah bukan sahaja membuka ruang untuk mengasah kreativiti guru tetapi juga memperkasakan murid serta membina budaya pembelajaran abad ke-21 yang dinamik.

Namun begitu, realitinya masih ramai sekolah beroperasi dalam keadaan kekurangan sumber kewangan terhad, kemudahan minimum dan cabaran infrastruktur. Ia sebuah paradoks pendidikan moden yang memerlukan pendekatan bijaksana.

Banyak inovasi besar bermula daripada idea kecil apabila guru menghasilkan alat bantu mengajar daripada bahan terpakai, murid mencipta aplikasi mudah untuk membantu rakan belajar.

Jurang antara visi ‘kelas dunia’ dan realiti ‘kelas bawahan’ jelas kelihatan. Sekolah bandar menikmati sokongan kewangan kukuh, capaian internet pantas dan tenaga pengajar berkemahiran tinggi.

Sebaliknya, sekolah pedalaman berjuang dengan kemudahan asas terhad, kekurangan peralatan teknologi maklumat (ICT), malah kadangkala tiada bekalan elektrik stabil. Dalam situasi ini, semangat inovatif menjadi penyelamat.

Guru merupakan ejen perubahan utama. Mereka bukan sekadar menyampaikan ilmu tetapi juga membentuk budaya inovasi di sekolah. Melalui program seperti Inovasi Pendidikan Kementerian Pendidikan (KPM), Anugerah Guru Kreatif dan pertandingan rekacipta, ramai guru membuktikan keterbatasan bukan penghalang kepada kecemerlangan.

Guru di sekolah kecil mampu menghasilkan inovasi yang memberi impak kepada murid dan komuniti.

Murid pula menjadi nadi utama kejayaan program inovasi. Dalam era digital, mereka digalakkan berfikir kritikal dan kreatif. Aktiviti seperti Cabaran STEM Challenge, Kem Pencipta Inovasi Muda atau Projek Mini Reka Cipta bukan sekadar pertandingan sebaliknya latihan kehidupan yang menanam daya tahan, semangat ingin tahu dan kemahiran menyelesaikan masalah sebenar.

Sesetengah sekolah mampu mempersembahkan projek bernilai puluhan ribu ringgit, manakala sekolah lain hanya menggunakan kertas terpakai dan botol plastik. Peruntukan tidak seimbang boleh memadam semangat inovasi di sekolah luar bandar.

Pihak berkuasa pendidikan perlu memandang isu ini serius. Inovasi seharusnya mencerminkan kecekapan dan daya cipta, bukan simbol kemewahan. Dana sokongan khas perlu disediakan, disertai latihan, bimbingan dan peluang kolaborasi.

Pembangunan kapasiti guru amat penting, khususnya dalam bidang teknologi pendidikan, reka bentuk inovasi dan penyelidikan tindakan. Sikap berani mencuba, bersedia berubah dan keberanian bereksperimen mesti ditanam sebagai budaya sekolah.

Keberkesanan program inovasi diukur bukan hanya melalui produk fizikal tetapi juga perubahan sikap dan pemikiran warga sekolah.

Kolaborasi antara sekolah boleh menutup jurang kelas dunia dan kelas bawahan. Sekolah sumber mencukupi boleh menjadi mentor kepada sekolah kekurangan.

Kepimpinan sekolah yang berwawasan memainkan peranan utama membina ekosistem kondusif untuk inovasi.

Pengetua dan guru besar perlu berani memberi ruang dan kepercayaan untuk mencuba idea baharu tanpa terlalu terikat birokrasi. Sekolah yang hidup dengan budaya keterbukaan lebih mudah berkembang menjadi sekolah inovatif.-UTUSAN

AZIZUL ASYRAF MD. HELMI
SMK Dato Sulaiman,
Parit Sulong, Johor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×