Teater Datuk Lat - Kampung Boy angkat kisah ikonik negeri Perak

Teater Datuk Lat – Kampung Boy angkat kisah ikonik negeri Perak

DATUK Lat (tengah) bersama para pelakon yang menjayakan pratonton persembahan teater ‘Datuk Lat - Kampung Boy’ di Auditorium Kompleks JKKN Perak di Ipoh,Perak, kelmarin. – UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Perak mengadakan pementasan teater Datuk Lat-Kampung Boy sebagai penghormatan kepada Seniman Diraja, Datuk Mohammad Nor Mohammad Khalid atau Datuk Lat.

Pementasan diadakan selama tiga hari mulai 14 hingga 16 November ini bermula 8.30 malam di Auditorium Kompleks JKKN Perak di sini.

Teater menterjemahkan siri komik ikonik ‘The Kampung Boy’ yang mengisahkan kehidupan Datuk Lat semasa kanak-kanak.
Antara barisan pelakon yang menjayakan teater ini terma­suk Safura Ya’cob, Ilya Senario dan Taiyuddin Bakar.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat menyaksikan pementasan teater tersebut pada Sabtu ini.
Sementara itu, Lat terharu apabila karyanya diangkat ke pentas teater.

Beliau mengakui rasa bangga kerana karya komik ikonik yang diilhamkan hampir sete­ngah abad lalu kini diberi nafas baharu dalam bentuk persembahan pentas yang penuh jiwa.

“Saya melukis untuk masyarakat dan negara. Selama lebih 50 tahun saya berhubung dengan rakyat melalui lukisan tanpa suara, hanya lakaran dan ekspresi tetapi malam ini, kisah itu hidup di pentas dengan dialog bermakna, lucu dan penuh jiwa.

Pementasan ini menghidupkan semula nostalgia kehidupan kampung yang menjadi identiti rakyat Malaysia,” katanya dalam sidang akhbar selepas pratonton tea­ter berkenaan di sini kelmarin.

Sementara itu, Pengarah JKKN Perak, Hisham Mat Husien berkata, pementasan teater tersebut adalah kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui JKKN Perak bersama Pertubuhan Seni Kayangan Perak (PESKAP).

“Pementasan teater ini adalah projek kebanggaan negeri Perak. Ia bukan sahaja merupakan penghormatan yang layak diberikan kepada Seniman Diraja kita, tetapi juga projek seni yang membawa nilai tinggi.

“Kami berharap melalui penterjemahan visual komik realisme ini, kita dapat menyemai nilai budaya tinggi dalam kalangan penonton, selari dengan aspirasi Malaysia Madani,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×