MACHANG: Suspek kedua yang menembak seorang rakyat Malaysia sehingga mati dalam kejadian Sungai Golok, Thailand, 1 November lalu mempunyai dua kerakyatan.
Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, mengikut maklumat yang diterima, suspek tersebut masih bebas dan dalam buruan Polis Thailand.
“Kita turut membantu mengesan suspek terbabit di sini dan bekerjasama dengan polis Thailand,” katanya selepas Program Town Hall Discussion Ketua Polis Kelantan 2025: Waspada Jenayah Dadah dan Jenayah Siber di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Machang di sini, hari ini.
Utusan Malaysia 1 November lalu melaporkan, angkara hutang, seorang rakyat Malaysia parah ditembak dalam satu kejadian di sebuah rumah di Sungai Golok.
Kejadian kira-kira pukul 6.40 petang itu mengakibatkan Mohd. Fuad Fahmie Ghazali, 33, yang berasal dari Kampung Kepas Asam, Pasir Mas, Kelantan menerima rawatan di Hospital Sungai Golok.
Jurucakap polis Narathiwat ketika dihubungi berkata, siasatan awal mendapati kes tersebut berpunca daripada masalah hutang hasil temubual dengan beberapa saksi yang berada berhampiran lokasi kejadian.
Kemudiannya, bekas penjaga gol pasukan bola sepak Kelantan FA pada 2019 yang merupakan suspek utama kejadian melepaskan tembakan ke arah seorang rakyat Malaysia sehingga maut di Sungai Golok, memiliki dua kerakyatan.
Komander Polis Wilayah Narathiwat, Mejar Jeneral Prayong Kotsakha berkata, suspek berusia 31 tahun itu ditangkap dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Charoen Khet, Mukim Sungai Golok pada pukul 6 petang. – UTUSAN










