KUALA LUMPUR: Lebih 6,000 peserta dari seluruh negara bakal menyertai CIDB Half Marathon 2025 pada 14 Disember ini, yang akan berlangsung di Dataran Putrajaya bersempena sambutan ulang tahun ke-30 Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).
Acara anjuran Kelab Kebajikan dan Sukan CIDB Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan kerjasama CIDB Malaysia dan Perbadanan Putrajaya (PPj) itu menampilkan empat kategori utama iaitu 21 kilometer (km) Half Marathon, 10km Race, 5km Fun Run dan 3km Family Fun Run.
Pengarah CIDB Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datuk Ts. Dr. Gerald Sundaraj berkata, penganjuran tahun ini bukan sahaja meraikan kejayaan tiga dekad CIDB tetapi turut menjadi simbol kekuatan industri pembinaan yang semakin dinamik.
“Ini merupakan kali kedua kami menganjurkan acara di bawah jenama CIDB Marathon. Tahun lalu kami hanya menganjurkan Fun Run dengan 2,500 peserta, manakala tahun ini penyertaan meningkat melebihi 6,000 peserta.
“Lebih 70 peratus peserta datang dari luar Putrajaya sekali gus merancakkan ekonomi setempat manakala 10 peratus pula terdiri daripada pelari antarabangsa, ” katanya dalam sidang akhbar di Bilik Anjung CIDB Wisma FGV, di sini, hari ini.
Menurutnya, sambutan luar biasa itu membuktikan usaha CIDB menggalakkan gaya hidup aktif dan sebagai platform memupuk nilai kebersamaan antara masyarakat awam dan komuniti industri pembinaan.
“Pendekatan yang kami bawa meliputi aspek keselamatan, kesihatan dan kebajikan bagi menunjukkan industri pembinaan ialah industri yang dinamik, cergas dan sentiasa maju ke hadapan,” katanya.
Tambahnya, konsep ‘runcation’ atau percutian sambil berlari yang diperkenalkan memberi peluang kepada peserta menikmati keindahan Putrajaya sambil beriadah.
“Konsep ini memberi nilai tambah kepada acara tersebut sebagai daya tarikan pelancongan ke peringkat global,” katanya.
Sementara itu, pengarah acara, Harrison Jub berkata, aspek keselamatan menjadi keutamaan dengan penyediaan lapan stesen air dan kemudahan solat Subuh di beberapa lokasi sepanjang laluan.
“Sebanyak 80 marshal ditugaskan bagi memantau kelancaran acara dengan sokongan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya. Laluan akan ditutup secara berperingkat mulai pukul 4.30 pagi bagi menjamin keselamatan semua pelari,” katanya.
Harrison yang juga Presiden Kelab Kita Pelari Malaysia berkata, Dataran Putrajaya dipilih sebagai lokasi penganjuran kerana kawasan itu mampu menampung jumlah peserta yang besar dan mempunyai kemudahan mencukupi.
“Tapaknya boleh menampung maksimum sehingga 50,000 peserta memandangkan Dataran Merdeka di Kuala Lumpur kini tidak dapat digunakan kerana kerja-kerja naik taraf sedang dijalankan,” katanya.
Dengan sambutan menggalakan itu, beliau optimis CIDB Half Marathon 2025 mampu menarik sehingga 10,000 peserta dengan pendaftaran masih dibuka hingga 30 November di pautan https://bit.ly/CIDBHM25 atau https://cps4.me/CIDB25. – UTUSAN








