KUALA LUMPUR: Kerajaan berjaya menjimatkan lebih RM400 juta sebulan sejak pelaksanaan penyasaran semula subsidi diesel di bawah Program BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel).
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, jumlah itu bersamaan dengan penjimatan sekitar RM5 bilion setahun yang membolehkan kerajaan menyalurkan semula dana tersebut bagi membiayai projek-projek pembangunan serta mengukuhkan jaringan keselamatan sosial rakyat melalui pelbagai bentuk bantuan tunai langsung.
“Penjimatan yang diperoleh membolehkan kerajaan menampung program bantuan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang peruntukannya telah meningkat kepada RM13 bilion dalam Belanjawan 2025 berbanding RM10 bilion pada tahun sebelumnya.
“Peruntukan ini kemudiannya ditambah kepada RM15 bilion menerusi pelaksanaan program penghargaan SARA selaras dengan komitmen kerajaan membantu rakyat yang memerlukan seperti diumumkan ketika pembentangan Belanjawan 2026,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Chong Chieng Jen (PH–Stampin) yang meminta kerajaan menjelaskan jumlah penjimatan yang dicapai hasil pelaksanaan rasionalisasi subsidi diesel sejak Jun 2024.
Hui Ying berkata, kerajaan turut memperkenalkan Program Budi MADANI Individu dan BUDI Agri-Komoditi iaitu bantuan tunai sebanyak RM200 sebulan atau RM2,400 setahun kepada pemilik kenderaan diesel persendirian, petani, penternak dan pekebun kecil yang layak.
“Golongan petani dan pekebun kecil tertakluk kepada kriteria kelayakan ditetapkan sehingga 31 Oktober lalu. Sehingga 31 Oktober lalu, seramai 320,000 pemilik kenderaan persendirian diesel, petani, penternak dan pekebun kecil menerima manfaat dengan jumlah bayaran sebanyak RM850 juta.
“Bagi segmen kenderaan pengangkutan barangan darat di bawah Program Budi MADANI Diesel sehingga 30 September lalu, sebanyak 121,618 syarikat kenderaan barangan dengan 355,074 kenderaan diluluskan bagi penggunaan ‘fleet card’.
“Langkah ini dapat memastikan kos operasi sektor logistik tidak meningkat secara mendadak dan membantu mengekalkan harga barangan keperluan pada kadar berpatutan,” katanya.
Tambah Hui Ying, di bawah kerangka Ekonomi Madani, pelaksanaan subsidi bersasar terbukti berkesan dalam mengurangkan ketirisan, mengoptimumkan perbelanjaan fiskal, serta memastikan bantuan kerajaan disalurkan hanya kepada golongan yang benar-benar layak.
“Pendekatan ini bukan sahaja meningkatkan kecekapan pengurusan kewangan negara, tetapi juga menjamin setiap sen subsidi dimanfaatkan secara adil dan berimpak tinggi kepada rakyat,” katanya. – UTUSAN










