Pelancaran Strategi Pembandaran Lestari ASEAN (ASUS), yang menyediakan rangka tindakan untuk bandar mampan di ASEAN merangkumi penyelesaian perumahan mampu milik dan inklusif di bandar, selari sasaran Matlamat Pembangunan Mampan (SDG)11.
Fasa pertama projek (2020-2022) memberi tumpuan kepada sokongan teknikal di lapan bandar perintis ASEAN dan memupuk perkongsian ilmu di peringkat serantau, termasuk penganjuran Forum Pembandaran Mampan ASEAN (ASUF).
Rangkaian Bandar Pintar ASEAN (ASCN), misalnya, ialah platform kolaboratif yang menghubungkan 26 bandar perintis di seluruh ASEAN untuk bekerjasama dalam pembangunan bandar pintar dan mampan.
Rangkaian ini membantu bandar berkongsi pengalaman melaksanakan projek perumahan pintar, sistem pengangkutan cekap, teknologi hijau dan sebagainya demi menjadikan komuniti lebih inklusif dan berdaya huni.
Usaha ASEAN dalam menyelaraskan agenda perumahan dengan SDG dipandu komitmen bersama terhadap Wawasan Komuniti ASEAN 2025 dan Agenda 2030 Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
ASEAN dan Program Penempatan Manusia PBB (UN-Habitat) menegaskan iltizam bekerjasama secara transformasi demi mencapai aspirasi ini, sejajar Agenda Baharu Bandar yang menitikberatkan bandar inklusif dan mampan.
Maknanya, negara anggota ASEAN saling menyokong melalui perkongsian kepakaran, penyelarasan dasar dan mobilisasi sumber kewangan antarabangsa untuk program perumahan.
Sebagai contoh, Sidang Menteri ASEAN tentang Perumahan dan Pembangunan Bandar diadakan secara berkala bagi merumus dasar serantau dan di peringkat projek, terdapat kerjasama dengan rakan luar seperti China dan Jepun dalam program perumahan mampu milik.
Banyak bandar kini memasukkan objektif SDG11 dalam pelan induk masing-masing, untuk memastikan perumahan bukan sahaja mencukupi secara kuantiti tetapi juga berkualiti, selamat dan berdaya tahan terhadap perubahan iklim.
Kerjasama serantau melalui ASEAN membolehkan negara-negara belajar antara satu sama lain.
Selain itu, inisiatif Bandar Kecil Inklusif ASEAN bertujuan mengimbangi tumpuan pembangunan yang selama ini lebih tertumpu kepada bandar-bandar utama, dengan mengalihkan sebahagian perhatian dan pelaburan ke bandar kecil dan pertengahan yang sedang berkembang pesat.
Sibu (Malaysia), Sittwe (Myanmar), Palembang (Indonesia), Savannakhet (Laos) dan Cagayan de Oro (Filipina) berpotensi menjadi nadi pembangunan wilayah tetapi berdepan kekangan perancangan bandar, infrastruktur terhad dan kekurangan akses kepada model perumahan mampan.
Melalui inisiatif ini, ASEAN boleh menyediakan bantuan teknikal bagi pembangunan pelan induk bandar yang lebih inklusif, reka bentuk kawasan perumahan mampu milik serta sistem pengangkutan awam mikro yang menghubungkan komuniti ke kawasan pekerjaan.
Penilaian risiko perubahan iklim dan bencana juga perlu dijalankan agar perumahan dan infrastruktur di bandar ini lebih berdaya tahan.-UTUSAN
DR. NOR SUZYLAH SOHAIMI
Universiti Utara Malaysia (UUM)










