PARLIMEN: 562,116 terima 11 skim bantuan JKM berjumlah lebih RM2 bilion

PARLIMEN: 562,116 terima 11 skim bantuan JKM berjumlah lebih RM2 bilion

NANCY SHUKRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyediakan 11 skim bantuan kewangan kepada lebih 500,000 individu terdiri daripada warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan keluarga berpendapatan rendah bagi membantu meringankan beban golongan itu.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, bantuan yang disediakan melalui JKM itu bertujuan membantu kelangsungan hidup kumpulan sasar yang layak serta memerlukan.

Katanya, bantuan berkenaan bersifat sementara sehingga penerima mampu hidup secara berdikari.

“Pada masa ini, sebanyak 11 skim bantuan kewangan JKM disediakan. Lapan daripada skim bantuan tersebut merupakan bantuan kewangan bulanan dan tiga skim adalah bantuan kewangan one-off.

“Antara skim bantuan itu ialah Bantuan Kanak-Kanak (BKK), Bantuan Warga Emas (BWE), Elaun Pekerja Orang Kurang Upaya (EPOKU), Bantuan OKU Tidak Berupaya Bekerja (BTB) serta Bantuan Penjagaan OKU Terlantar dan Pesakit Kronik Terlantar (BPT).

“Turut disediakan ialah Bantuan Am Persekutuan (BA), Bantuan Anak Pelihara (BAP), Bantuan Latihan Perantis (BLP), Bantuan Alat Tiruan/Sokongan (BAT), Bantuan Geran Pelancaran (BGP) dan Tabung Bantuan Segera (TBS),” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Zahari Kechik (PN-Jeli) berhubung jenis bantuan yang diperuntukkan melalui JKM bermula 2022 hingga 2025.

Mengulas statistik JKM, Nancy berkata, sebanyak RM2.46 bilion disalurkan kepada 533,167 penerima pada 2022 dan tahun berikutnya, jumlah penerima meningkat kepada 543,811 orang dengan peruntukan bernilai RM2.53 bilion.

“Pada 2024 pula, RM2.6 bilion bantuan kewangan kebajikan diberikan kepada 550,416 penerima, manakala bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini, seramai 562,116 penerima telah didaftarkan dengan nilai peruntukan berjumlah RM2.03 bilion.

“Daripada jumlah tersebut, seramai 267,036 penerima adalah lelaki dan baki 295,080 lagi merupakan wanita,” katanya.

Menurut beliau, kumpulan etnik Melayu mencatatkan penerima tertinggi iaitu seramai 316,471 orang sehingga Ogos tahun ini, diikuti etnik Cina (92,749), India (61,833), Peribumi Sabah (44,969), Peribumi Sarawak (39,348), Orang Asli (1,124) dan lain-lain etnik (5,621).

“Berdasarkan pecahan umur, kumpulan berusia 60 tahun ke atas merupakan penerima tertinggi bantuan JKM, seramai 248,831 individu menerima Bantuan Warga Emas (BWE),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×