PETALING JAYA: Pasukan Selangor FC(SFC) seolah-olah tidak mengambil iktibar dari kesilapan lama selepas sekali lagi dikecewakan gol minit akhir Sabah FC yang menyaksikan keputusan seri 2-2 menentang dalam aksi pertama Piala FA di stadium Likas, kelmarin.
Bekas pemain kebangsaan, Azlan Johar menyifatkan kerapuhan konsentrasi pemain pada minit-minit akhir terus menghantui pasukan itu biarpun telah beberapa kali kehilangan mata berharga dalam situasi yang sama sebelum ini.
“Sekali lagi Selangor dikecewakan dengan gol minit akhir. Ini jelas menunjukkan pemain tidak memberi tumpuan sepenuhnya sehingga tamat perlawanan.
“Mereka tidak belajar daripada apa yang berlaku ketika menentang Persib Bandung tempoh hari,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Bekas tonggak Selangor itu berkata, meskipun skuad Gergasi Merah berjaya mendahului lawan selepas ketinggalan satu gol pada separuh masa pertama, namun kealpaan di minit akhir menafikan peluang untuk membawa bekalan selesa ke aksi timbal balik di Petaling Jaya.
“Kita boleh menjaringkan gol dan mendahului lawan, itu bagus. Tetapi bila sudah di depan, pemain kena fokus untuk mempertahankan kedudukan.
“Ini soal disiplin dan mentaliti. Kalau hilang fokus, kita akan terus dibayar dengan keputusan seperti ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, Azlan menyeru pengurusan Selangor FC supaya segera mencari jalan penyelesaian sebelum aksi timbal balik di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ) .
“Panggil pemain secara individu, tanya apa masalah sebenar. Jangan terus salahkan sesiapa. Kumpul maklumat, cari punca, dan fokus pada penyelesaian,” jelasnya.
Sebagai bekas pemain Selangor, Azlan turut berharap penyokong Gergasi Merah kembali memenuhi stadium untuk memberi sokongan penuh kepada pasukan pada aksi kedua Piala FA di MBPJ. – UTUSAN











