KUALA LUMPUR: Pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski lebih memikirkan kejayaan pasukan berbanding isu dokumentasi tujuh pemain warisan yang dihukum Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Beliau berkata, isu berkenaan di luar kawalannya dan pemain skuad kebangsaan sendiri, maka adalah lebih baik beliau memberi tumpuan penuh terhadap apa yang mampu dilakukan terutama mendapatkan keputusan positif di atas padang.
“Kami tidak boleh kawal perkara lain selain daripada kerja kami di padang tetapi apa yang boleh kami lakukan adalah membuatkan rakyat Malaysia bangga apabila kami bermain.
“Semua perkara yang kecoh dan spekulasi perlu ditapis kerana ia seperti tidak menghormati permainan bola sepak. Ia bukan masalah kerana apa yang saya fokus adalah terhadap perkara yang saya boleh kawal dan pastikan segalanya berjalan dengan baik.
“Saya hanya harap saya boleh membuatkan Malaysia berasa bangga dengan cara kami bermain dan menamatkan 2025 tanpa kalah, mampu jaringkan gol serta menamatkan perlawanan tanpa bolos,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.
Kemelut melibatkan tujuh pemain warisan sehingga kini belum selesai selepas FIFA menolak rayuan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), namun badan induk bola sepak negara itu belum mahu mengalah dan bersedia membawa kes berkenaan ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).
Misi besar kini menanti skuad Harimau Malaya dalam usaha menutup tahun 2025 dengan rekod tanpa kalah dalam semua aksi rasmi atau kompetitif apabila menentang Nepal, 18 November ini.
Pasukan kendalian Cklamovski tidak tewas dalam tujuh aksi rasmi sejak Mac lalu, selain tewas 0-3 kepada Cape Verde dalam perlawanan persahabatan tertutup, 3 Jun lalu.
Justeru, Cklamovski menjelaskan bahawa meraih keputusan positif dalam aksi kelima Kumpulan F kelayakan Piala Asia 2027 menentang Nepal di Stadium Nasional, Bukit Jalil adalah perkara paling utama.
Terdahulu, FIFA mengekalkan hukuman denda sebanyak CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta) terhadap FAM selain penggantungan 12 bulan serta denda CHF2,000 (sekitar RM10,800) setiap seorang ke atas tujuh pemain atas dakwaan melanggar Artikel 22 Kod Disiplin FIFA berkaitan pemalsuan dokumen.
Tujuh pemain berkenaan adalah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garcas, Rodrigo Julian Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano.
Pengendali dari Australia itu, juga percaya bahawa barisan pemain Harimau Malaya memiliki sikap profesional dan mentaliti yang tinggi untuk menghadapi apa sahaja situasi termasuk melibatkan isu tujuh pemain warisan itu.
“Saya mendapat inspirasi bekerja dengan mereka (pemain) setiap hari dan ia juga memberikan kepuasan kepada saya sebagai jurulatih. Anda boleh lihat aura dalam kumpulan pemain, mentaliti yang hebat, disiplin, fokus dan tahap profesional mereka membuatkan saya rasa bangga.
“Kami perlu melaksanakannya setiap hari, jangan ambil mudah kerana kami tetap kena bekerja keras membina bola sepak cara kami bagi berdepan lawan yang sukar,” jelasnya. – UTUSAN











