TAWAU: Kementerian Kesihatan diminta untuk meneliti segera cadangan menambah kapasiti katil di Hospital Tawau bagi menampung keperluan pesakit yang semakin meningkat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tindakan penting bagi memastikan kemudahan dan keselesaan pesakit yang mendapatkan rawatan di hospital berkenaan.
“Tambahan 150 katil pun sudah penuh. Jadi saya arahkan supaya KSU Kementerian Kesihatan lihat bagaimana kita boleh tambah lagi sekitar 100 hingga 150 katil,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancuran Blok Baharu Hospital Tawau di sini hari ini.
Menurut beliau, pembangunan kesihatan dan pendidikan kekal menjadi keutamaan utama kerajaan berbanding projek mega atau infrastruktur besar yang tidak langsung memberi manfaat kepada rakyat marhaen.
“Kerajaan Madani memberi tumpuan kepada dua perkara utama iaitu pendidikan dan kesihatan. Ini untuk memastikan keluarga miskin dapat diangkat melalui pendidikan berkualiti dan rakyat mendapat rawatan dengan kemudahan yang mencukupi,” jelasnya.
Anwar turut menyentuh usaha kerajaan menyelesaikan isu doktor kontrak dan penambahbaikan skim perkhidmatan kesihatan, termasuk kenaikan elaun dan gaji penjawat awam yang akan dilaksanakan secara berperingkat mulai Disember ini.
“Masalah doktor kontrak yang kita warisi sudah hampir diselesaikan. Kenaikan elaun tugas on-call juga satu permulaan baik. Bulan Disember gaji naik, Januari naik lagi, ini kerajaan Madani lakukan selepas 12 tahun tiada perubahan,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa langkah menaikkan peruntukan gaji dan elaun penjawat awam sebanyak RM18 bilion bagi 2025 adalah pengiktirafan terhadap peranan besar mereka dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat.
Projek Blok Baharu Hospital Tawau yang kini siap sepenuhnya menandakan komitmen kerajaan untuk memastikan semua projek tertangguh, khususnya di bawah Kementerian Kesihatan, disiapkan mengikut keutamaan rakyat.
“Kalau RMK11 pun belum siap, kita tak boleh terus umum RMK13. Arahan saya jelas selesaikan dulu semua projek kesihatan yang tertangguh,” tegasnya.-UTUSAN










