PARLIMEN: Belia ketagih judi dalam talian

PARLIMEN: Belia ketagih judi dalam talian

HANNAH YEOH - JABATAN PENERANGAN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kadar penglibatan belia dengan aktiviti perjudian dalam talian amat membimbangkan.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, jumlah belia yang terjebak dengan aktiviti itu berada pada tahap agak tinggi.

“Perjudian haram dalam talian melibatkan belia. Yang ini memang tinggi juga. Tapi data saya tak ada sekarang,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Nurul Amin Hamid (PN-Padang Terap) mengenai usaha meningkatkan kuasa undang-undang bagi membendung risiko penipuan dan manipulasi dalam sukan elektronik atau e-sukan.

Hannah berkata, pihaknya mengambil dasar konservatif dalam usaha mempromosikan e-sukan di sekolah bagi mengelakkan penagihan gajet dalam kalangan murid.

Katanya, isu ketagihan gajet serta penggunaan berlebihan dalam kalangan murid kekal menjadi kebimbangan.

“Justeru, kawalan dan bimbingan bermula dari rumah oleh ibu bapa agar minat terhadap e-sukan dapat diuruskan secara seimbang.

“Setakat ini, tiada promosi secara aktif dilaksanakan di sekolah sama ada oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) atau Kementerian Pendidikan (KPM),” katanya.

Menurut Hannah, KBS menjalankan beberapa sesi libat urus bersama KPM melalui Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian yang menghasilkan kertas cadangan serta draf garis panduan pelaksanaan e-sukan di sekolah.

Katanya, KPM akan menilai dan memberikan sokongan kepada penganjuran e-sukan oleh agensi luar yang melibatkan murid bagi tujuan pengiktirafan markah, pentaksiran aktiviti jasmani, sukan dan kokurikulum bermula tahun hadapan.

“Sokongan ini akan diberikan hanya kepada penganjur yang menggunakan judul permainan yang telah diluluskan berdasarkan senarai yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Penilai Judul Permainan.

“Jawatankuasa ini turut melibatkan unit psikologi dan kaunseling dari Kementerian Kesihatan (KKM) membabitkan setiap judul serta kandungan permainan agar sesuai dengan konteks pendidikan, selain tidak menjejaskan kesejahteraan murid,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN