Taufan Fung-Wong berada sekitar 1,000 km dari Sabah

Taufan Fung-Wong berada sekitar 1,000 km dari Sabah

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora di beberapa kawasan di perairan Laut China Selatan susulan Taufan Fung-Wong yang melanda Filipina, awal pagi tadi.

Taufan dengan kelajuan angin maksimum 120 kilometer sejam (km/j) itu dikesan berada kira-kira 129 km di barat daya Vigan City, Filipina.

Menurut kenyataan dikeluarkan MetMalaysia, taufan itu bergerak ke arah barat laut dengan kelajuan 30 km/j.

“Taufan Fung-Wong kini berada pada kedudukan latitud 17.4 darjah utara dan longitud 119.2 darjah timur, kira-kira 1,196 km ke timur laut Kudat, Sabah,” katanya hari ini.

Keadaan tersebut boleh menyebabkan angin kencang dan laut bergelora di beberapa kawasan perairan Laut China Selatan.

Selain itu, MetMalaysia turut mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang yang dijangka berlaku di beberapa negeri iaitu Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Negeri Sembilan serta Johor sehingga 12 tengah hari ini.

Antara kawasan terlibat di Kedah ialah Langkawi, Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Yan, Pendang, Kuala Muda, Kulim dan Bandar Baharu; manakala di Perak membabitkan Kerian, Larut, Matang dan Selama, Manjung, Perak Tengah, Bagan Datuk serta Hilir Perak.

Di Selangor, cuaca buruk dijangka berlaku di Sabak Bernam, Hulu Selangor, Gombak, Petaling, Hulu Langat dan Sepang; di Negeri Sembilan melibatkan daerah Jelebu dan Seremban; manakala di Johor membabitkan Muar, Batu Pahat, Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN