PARLIMEN: Keterjaminan makanan negara tahap sederhana

PARLIMEN: Keterjaminan makanan negara tahap sederhana

MOHAMAD SABU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tahap keterjaminan makanan negara ketika ini berada pada tahap sederhana dengan skor 69.9 menurut laporan Global Food Security Index (GFSI) 2022 yang dikeluarkan oleh Economist Impact.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sentiasa komited serta proaktif memperkukuh ketahanan dan keterjaminan makanan negara bagi menghadapi sebarang cabaran luar seperti sekatan import.

Katanya, sekiranya berlaku gangguan terhadap rantaian bekalan makanan antarabangsa, Kadar Sara Diri (SSR) dan Kadar Kebergantungan Import (IDR) akan menjadi indikator penting dalam menilai keupayaan negara menampung keperluan makanan asas rakyat.

“Berdasarkan laporan Jabatan Perangkaan (DOSM), SSR 2023 bagi beras (56.2 peratus) dan ayam (90.2 peratus) yang mencatat sedikit penurunan.

“Namun, peningkatan positif dicatat bagi daging lembu dan kerbau (15.9 peratus) serta susu segar (66.8 peratus),” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) mengenai tahap keterjaminan makanan negara sekiranya berlaku sekatan import terhadap barangan asas seperti beras, gandum, gula, ayam, daging, susu dan sayur-sayuran serta strategi memastikan Malaysia berupaya berdikari dalam pengeluaran makanan.

Mohamad berkata, data turut menunjukkan trend penurunan IDR bagi daging lembu dan kerbau, daging kambing serta susu segar dan beberapa jenis sayur-sayuran seperti cili.

“Namun, IDR bagi beras, ayam dan sayur-sayuran tertentu seperti bayam dan bendi masih meningkat sekali gus menunjukkan kebergantungan negara terhadap import masih ketara walaupun nilai SSR bagi ayam, telur dan sayuran tertentu kekal tinggi,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, stok fizikal beras negara sehingga 21 Oktober lalu berjumlah 1,190,308 tan metrik meliputi 990,308 tan metrik stok dagangan dan 200,000 tan metrik stok penimbal beras negara.

“Jumlah tersebut mencukupi untuk menampung keperluan negara bagi tempoh sekitar enam bulan. Unjuran pengeluaran ayam pula sehingga Oktober 2025 dijangka kekal stabil dengan anggaran 70.65 juta ekor di ladang sekali gus menampung keperluan semasa negara,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN