PONTIAN: Fenomena air pasang besar sejak Khamis lalu menyebabkan beberapa jalan utama di Pekan Kukup Laut di sini, digenangi air paras buku lali, sekali gus menarik perhatian penduduk dan pelancong.
Peniaga, Zulkifli Mohd. Hafan, 47, berkata, air pasang besar kali ini tidak setinggi tahun lalu tetapi cukup untuk mengubah pemandangan sekitar pekan pelancongan itu.
Katanya, pada Khamis, air pasang bermula pada pukul 10 pagi dan Jumaat pula kira-kita pukul 11 pagi.
“Sementara Sabtu pada pukul 11.30 pagi dan semalam pukul 12 tengah hari. Bila surut, kawasan kedai dipenuhi lumpur dan kami perlu mencucinya segera. Ini kerana kedai tidak ditutup ketika air pasang,” katanya ketika ditemui.
Zulkifli berkata, fenomena itu turut menarik perhatian pelancong termasuk dari Singapura dan Indonesia yang teruja melihat perubahan mendadak air laut.
“Ramai tanya kenapa jalan tenggelam, sebab mereka tak pernah lihat air pasang besar. Ada yang ambil gambar sebab nampak luar biasa,” katanya.
Sementara itu, pelancong Indonesia, Andri Atto, 35, berkata, ini kali pertama dia melihat air pasang besar di Pekan Kukup Laut.
Dia yang datang dari Tanjung Balai berkata, dia terkejut sebaik sahaja turun dari feri yang mana air memenuhi jalan di hadapan terminal.
“Di Tanjung Balai, tiada air pasang seperti ini, walaupun berlaku air pasang besar. Saya dan isteri teruja apabila ramai pelancong meredah air pasang besar sejauh 100 meter,” katanya. – UTUSAN










