Digistar sasar 1.5j pelanggan dalam lima tahun

Digistar sasar 1.5j pelanggan dalam lima tahun

LOUIS Lee Chun Szen (dua dari kanan) Ketika ditemui pemberita baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Digistar Corporation Berhad menyasarkan untuk mencapai 1.5 juta pelanggan dalam tempoh lima tahun, seiring dengan pelancaran strategi harga mampu milik serta perluasan rangkaian saluran hiburan baharu.

Pengarah Eksekutif Digistar Corporation Berhad, Louis Lee Chun Szen berkata, langkah itu merupakan sebahagian daripada strategi jangka panjang syarikat untuk memperkukuh kedudukan sebagai penyedia kandungan digital terkemuka di rantau ini.

“Kami kini giat memperkukuh platform penyiaran digital dengan menawarkan semua saluran pada harga serendah RM19.90 sebulan, menjadikan Digistar antara penyedia kandungan berasaskan internet yang paling kompetitif di pasaran,” katanya kepada pemberita baru-baru ini. 

Menurutnya, menjelang ­akhir tahun ini, Digistar menyasarkan untuk menambah 80 saluran baharu, dengan matlamat mencapai 100 saluran keseluruhan menjelang Disember 2025. 

“Langkah ini dilihat mampu menarik minat pelanggan baharu, terutama di kalangan penonton muda dan keluarga yang mencari kandungan pelbagai pada kadar berpatutan,” katanya.

Beliau berkata, syarikat juga optimis untuk menutup tahun kewangan ini dengan 15,000 pelanggan berdaftar, sebelum memperluas operasi ke pasaran serantau menerusi penawaran kandungan hiburan, berita dan sukan yang lebih meluas.

“Strategi harga rendah dan peningkatan saluran ini adalah sebahagian daripada pelan jangka panjang syarikat untuk mengukuhkan kedudukan sebagai peneraju penyiaran digital tempatan yang mampu bersaing di peringkat ASEAN,” katanya.

Dalam pada itu, Digitstar, mengumumkan rancangan pe­ngembangan agresifnya di rantau ASEAN dengan matlamat untuk menjadikan Panorama TV Asia sebagai hab utama TV Internet serantau menjelang tahun 2029.

“Pengembangan tersebut me­libatkan kemasukan ke pasaran Jepun dan Indonesia serta memperkukuh kerjasama ren­tas sempadan bagi pengedaran kandungan Video on Demand (VOD),” katanya. 

Selain itu, syarikat menyasarkan untuk mencapai 15 juta pelanggan dalam tempoh empat tahun akan datang dengan unjuran hasil tahunan mencecah RM500 juta. 

“Pertumbuhan itu dijangka disokong oleh kadar purata hasil per pengguna (ARPU) yang stabil serta peningkatan langganan di pasaran baharu,” katanya. 

Dari segi teknologi, Digitstar menekankan sistem penyiaran yang dibangunkan mampu beroperasi sehingga 80 peratus le­bih murah berbanding teknologi tradisional. 

“Syarikat turut merangka pelan pembangunan san penyelidikan (R&D) selama dua tahun bersama rakan penyelidik dari Malaysia dan Australia untuk meningkatkan kecekapan jalur lebar, membangunkan enjin cadangan berasaskan kecerdasan buatan (AI) dan menambah baik penghantaran kandungan digital,” katanya. 

Selain itu, hak paten teknologi kini sedang dalam proses pendaftaran di Singapura bagi melindungi inovasi yang dibangunkan. 

“Digitstar turut berhasrat memperkukuh perpustakaan kandungannya dengan penambahan tajuk-tajuk popular dari Indonesia, China, Korea, India dan Hollywood,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN