20 syarikat lombong emas dilulus, hanya empat yang akti

DUN Kelantan: 20 syarikat lombong emas dilulus, hanya empat yang aktif

MOHAMED FADZLI HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Sebanyak 20 buah syarikat diberikan lesen untuk melombong emas di negeri ini namun hanya empat yang aktif melakukan kerja-kerja tersebut.

Timbalan Menteri Besar Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan berkata, syarikat berkenaan ialah CNMC dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK), Yayasan Kraftangan Malaysia, Warisan Tiara dan PKINK melalui Syarikat Prima Warisan Venture.

“19 syarikat yang diberikan lesen itu adalah berksala kecil seperti Yayasan Kraftangan Malaysia, Warisan Tiara dan PKINK melalui Syarikat Prima Warisan Venture.

“Hanya satu berskala besar iaitu CNMC kerana mereka mempunyai kemampuan,” katanya semasa menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Datuk Mohd. Syahbuddin Hashim semasa Persidangan Kali Ketiga Bagi Tempoh Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan (Belanjawan) di Kota Darulnaim, di sini  hari ini.

Mohamed Fadzli berkata, kerajaan negeri mengalu-alukan syarikat bumiputera untuk terlibat dalam aktiviti perlombongan di negeri ini.

Katanya, syarikat bumiputera mestilah mempunyai kepakaran dan kemampuan untuk melakukan kerja-kerja tersebut serta benar-benar mahu melombong dan bukan menjual.

Mengulas isu perlombongan emas haram di Kursial, Tanah Merah, dekat sini, beliau berkata, ia bersifat khabar angin semata-mata dan hasil kajian yang dilakukan mendapati tiada pelanggaran berlaku atau jualan emas secara haram.

Katanya, kerajaan negeri sedang menunggu laporan penuh berkaitan dakwaan tersebut.

“Dasar penjualan emas mentah dikawal melalui peruntukan Enakmen Urusan Emas Mentah 1991. Enakmen tersebut memperuntukkan syarat utama menghendaki pembeli emas mentah di Kelantan hendaklah mempunyai lesen membeli emas mentah yang dikeluarkan oleh Pejabat Perbendaharaan Negeri Kelantan.

“Jika berlaku sebarang ketidakpatuhan semasa kerja-kerja perlombongan dijalankan, agensi berkaitan seperti Jabatan Mineral dan Geosains dan Jabatan Alam Sekitar bertanggungjawab untuk mengambil sebarang tindakan yang wajar di bawah peruntukan undang-undang masing-masing,” ujarnya.

Katanya, sebarang pelanggaran syarat di dalam lesen tenemen mineral atau di dalam Enakmen Mineral 2001 berdepan tindakan pelucuthakan atau pembatalan lesen tenemen mineral diambil oleh Pejabat Pengarah Tanah Dan Galian Negeri melalui peruntukan Enakmen Mineral 2001. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN