RAMALLAH: Sekumpulan peneroka haram Israel membakar sebuah rumah penduduk Palestin di kampung Abu Falah, timur laut Ramallah, awal pagi semalam serta menyerang petani, wartawan dan aktivis asing berhampiran Nablus di Tebing Barat yang diduduki, lapor agensi berita Anadolu.
Menurut sumber tempatan yang dipetik agensi berita rasmi Palestin, Wafa, sekumpulan peneroka menyerbu kawasan pinggir kampung Abu Falah dan menyulut api pada sebuah rumah setingkat, menyebabkan sebahagian besar rumah berkenaan hangus terbakar.
Beberapa penduduk yang berkumpul berhampiran lokasi kejadian turut ditembak oleh tentera Israel yang tiba untuk mengawal kawasan tersebut, namun tiada kecederaan dilaporkan.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Jumaat memberi amaran berhubung peningkatan mendadak keganasan peneroka Israel terhadap rakyat Palestin di Tebing Barat. Menurut laporan Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan PBB (OCHA), sebanyak 264 serangan peneroka direkodkan pada bulan Oktober sahaja, angka tertinggi dalam tempoh hampir dua dekad.
“Itu adalah jumlah bulanan tertinggi dalam tempoh hampir 20 tahun, dengan purata lebih lapan serangan setiap hari sejak 2006,” kata jurucakap PBB, Farhan Haq, dalam satu kenyataan di New York.
Dalam insiden berasingan, petani Palestin, wartawan dan aktivis asing cedera selepas diserang peneroka Israel ketika aktiviti menuai buah zaitun di kawasan Gunung Qamas berhampiran bandar Beita, selatan Nablus.
Timbalan Datuk Bandar Beita, Mohammad Hamayel, berkata kumpulan peneroka terbabit menyerang peserta yang terlibat dalam kegiatan tersebut, menyebabkan beberapa mangsa mengalami patah tulang dan lebam teruk.
Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin mengesahkan pasukannya merawat beberapa mangsa cedera sebelum mereka dibawa ke hospital berdekatan, namun jumlah sebenar mangsa tidak dinyatakan.
Antara yang cedera termasuk wartawan Reuters, Raneen Sawafta, serta dua petugas media Al Jazeera dan beberapa paramedik serta aktivis antarabangsa, lapor Wafa.










