MUKADIMAH
Mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tidak lama lagi, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, DATUK SERI DR. SHAMSUL ANUAR NASARAH, menegaskan UMNO dan Barisan Nasional (BN) perlu keluar daripada kepompong lama dengan memperbaharui strategi serta pendekatan politik agar mampu kembali dominan. Katanya, pengaruh generasi muda yang semakin besar dan bersifat kritikal terhadap parti politik menuntut UMNO tampil lebih segar, menawarkan calon yang bukan sahaja berwibawa tetapi juga diyakini rakyat.
Dr. Shamsul Anuar turut menekankan pentingnya keikhlasan dan kesetiaan pemimpin terhadap perjuangan parti, sambil mengingatkan rakyat kini menilai kejujuran dan integriti pemimpin lebih daripada retorik politik, justeru UMNO perlu dipimpin oleh mereka yang benar-benar mahu berjuang demi parti, bukan kerana kepentingan peribadi mahupun mengejar kedudukan.
Menerusi wawancara bersama bersama wartawan Mingguan Malaysia, IRWAN SHAFRIZAN ISMAIL serta dibantu jurufoto SADDAM YUSOFF dan juruvideo MUHAMMAD FARIS MD IDERIS, Timbalan Menteri Dalam Negeri itu turut menekankan keperluan UMNO menyesuaikan strategi komunikasi dengan realiti politik tempatan yang kompleks, di samping memperkukuh jentera penerangan agar mesej parti sampai kepada seluruh lapisan masyarakat.
PELUANG UMNO DALAM PRN SABAH
MINGGUAN MALAYSIA: Bagaimana Datuk Seri melihat peluang UMNO dan BN di PRN Sabah, dengan tiada parti politik yang dilihat dominan?
Saya mengharapkan UMNO dan BN memperoleh kemenangan besar kali ini. Gambaran jelas boleh dilihat selepas pengesahan parti dan calon bertanding. Jika UMNO dan BN mengekalkan perpaduan dan semua meletakkan parti sebagai keutamaan tidak mustahil UMNO dan BN kembali dominan.
Apapun saya melihat harapan rakyat Sabah berbeza kali ini. Keadaan ditambah dengan realiti politik Sabah yang dilihat antara paling dinamik dan kompleks di Malaysia.
Malah sejarah membuktikan betapa landskap politik Sabah sering berubah dengan cepat, dipengaruhi oleh pelbagai faktor tempatan, calon atau kepimpinan, isu kenegerian, pembangunan, dan hubungan dengan Kerajaan Persekutuan.
Ini persoalan sangat menarik, sebab itu saya melihat pendekatan UMNO, dan strategi yang akan digunakan tidak boleh lagi sepenuhnya menggunakan pendekatan lama, ia mesti disesuaikan dengan cabaran baru.
Malah saya melihat kali ini, rakyat Sabah akan membuat keputusan bagi memenuhi apa yang mereka inginkan. Di sini jelas jika UMNO-BN mahu mencipta kemenangan, UMNO-BN mesti meyakinkan rakyat bahawa kita adalah pilihan terbaik serta mampu memenuhi keinginan mereka.
Lantaran itu parti mesti mempunyai maklumat dan mengetahui keinginan serta kemahuan rakyat dengan tepat. Berasaskan data ini, kemudiannya menawarkan sesuatu yang terbaik dengan meyakinkan rakyat, BN mampu memenuhi impian mereka.
Jadi, tentulah diantara perkara penting ialah calon yang dipertaruhkan parti,mesti diyakini dan mampu memenuhi impian rakyat, bukan sahaja pemimpin.
Hakikatnya, ramai rakyat Sabah masih merasakan pembangunan negeri tidak seimbang, terutamanya antara kawasan bandar seperti Kota Kinabalu dengan daerah pedalaman seperti Pensiangan, Nabawan, Tongod, dan Kudat.
Di sisi lain pastinya juga isu kos sara hidup, pengangguran, dan peluang ekonomi serta pekerjaan menjadi keutamaan.
Malah, saya merasakan rakyat semakin letih dengan ‘lompat parti’ dan perebutan kuasa yang tidak berkesudahan, hingga Sabah terkenal dengan perubahan kerajaan yang kerap berlaku.
Bagi generasi muda Sabah, jelas dilihat yang semakin berani bersuara. Mereka mahu peluang untuk: terlibat dalam proses politik dan pembuat dasar, menyumbang idea segar bagi membangunkan negeri, bukan sekadar menjadi pemerhati.
Justeru melihat semua ini, jika ditanya pada saya apakah peluang UMNO dan BN, kembali menjadi dominan, maka saya yakin BN mampu jika kita berjaya yakinkan rakyat bahawa barisan calon serta tawaran yang UMNO dan BN kali ini adalah mampu memenuhi impian rakyat.
UMNO BUKAN PARTI BARU DI SABAH
Sentimen ‘Sabah for Sabahan’ yang dimainkan sesetengah parti, bagaimana Datuk Seri melihat perkara itu?
Ya, ini satu daripada cabaran, kepada kebanyakan parti terutama BN dan UMNO. Namun saya yakin UMNO berkeupayaan menghadapinya. Hakikatnya, yang memainkan sentimen ini, tiada tujuan lain selain untuk meraih undi rakyat.
Realitinya, UMNO BN bukan parti baharu di Sabah, malah umum mengetahui kita sudah lama bertapak di Sabah. Malah lebih lama berbanding sesetengah parti yang ada di Sabah, maka kalau dikata UMNO dan BN adalah parti Semenanjung sebenarnya adalah tidak tepat.
Faktanya juga UMNO telah lama membuat pindaan kepada perlembagaan parti, dengan memberikan autonomi kepada UMNO Sabah malah pemimpin utama UMNO di Sabah pun sendiri tidak digelar Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Sabah sebagaimana negeri-negeri lain sebaliknya di Sabah ia dinamakan sebagai, Ketua UMNO Sabah, ini simbolik kepada autonomi yang diberikan, dan banyak lagi jika ingin dinyatakan.
Oleh itu, sentimen ini sepatutnya tidak dimainkan.
Namun demikian kita kena sedar ini antara isu yang mesti ditangani dengan berkesan oleh jentera BN. Saya harap rakyat tidak membuat keputusan berasaskan sentimen ini.
UMNO dan BN dijangka tampil 80 peratus calon muka baharu di PRN Sabah, kepada yang tidak tercalon, muka-muka lama, apa nasihat Datuk Seri untuk mengelak timbul sabotaj?
Saya harap semua meletakkan parti sebagai keutamaan. Lantaran itu saya percaya dan berkeyakinan, jika semua memegang prinsip ini, maka impian parti menjadi dominan dan diterima rakyat mudah dilaksana. Maka pastinya siapa pun (calon) diletakkan oleh parti sebagai calon, secara bersama kita mesti berusaha untuk memenangkannya.
Saya percaya pimpinan parti sudah mengkaji secara terperinci, apa kemahuan, keinginan serta inspirasi pengundi atau rakyat, kerana ini sangat penting.
Apatah lagi rakyatlah penentu kemenangan sesebuah parti, maka kita mesti mengemukakan calon yang diingini oleh rakyat, bukan sahaja diinginkan oleh parti atau kepimpinan, kerana rakyat akan menolak siapa juga calon yang mereka tidak inginkan.
Di sisi lain, saya percaya gandingan yang akan ditonjolkan tentunya adalah kombinasi di antara muka lama dan muka baharu, dan terdiri daripada pelbagai latar belakang pendidikan dan kepakaran.
Semua ini penting untuk membolehkan parti mempunyai ramuan bagi menyakinkan rakyat. Maknanya dengan pasukan yang dibariskan, rakyat yakin manifesto atau janji yang dikemukakan akan direalisasikan oleh barisan calon yang terbaik.
Bagi calon muka baharu, mereka, mesti meyakinkan rakyat bahawa pemilihan mereka benar-benar mampu memenuhi keinginan rakyat, dan membuktikan kepada parti mereka mampu untuk mencipta kemenangan.
Mengambil pengalaman daripada muka-muka lama juga penting, jadi bila telah dipilih, mereka mesti membuktikan mereka terbaik berbanding yang lain.
Hakikatnya bukan mudah untuk memilih calon kerana pelbagai perkara perlu dipertimbangkan. Realitinya, tidak ramai tokoh boleh diberikan peluang untuk bertanding.
Kepada yang dipilih buktikan kemampuan, dan mereka bertanggungjawab mendapat sokongan rakyat dan memastikan pimpinan serta jentera parti bersama dengannya.
Paling, diharapkan adalah ikrar dan ketaatan semua pada parti kerana apabila parti sudah membuat keputusan, kita sudah tiada pilihan selain bekerja bersungguh-sungguh untuk mencipta kemenangan, disamping melihat ini peluang terbaik untuk UMNO BN kembali menjadi dominan. Dan kita harap kemenangan, agar ia menjadi momentum kepada pilihan raya berikutnya.
Berasaskan pengalaman, jangan sesekali mensabotaj parti sendiri. Semua ini akan menyebabkan parti kecundang.
Jangan kita hukum mereka ketika pilihan raya, jika mahu juga menghukum mereka, lakukannya dalam pemilihan parti.
Namun, saya harap tidak berlaku lagi sebotaj parti. Oleh itu, calon yang dipilih diharap adalah disukai rakyat dan diinginkan oleh pimpinan parti di mana calon itu bertanding, kerana situasi ini akan mengelakkan sabotaj parti berlaku.
Bagaimana dengan soal kerjasama UMNO/BN bersama PH dan PH bersama GRS dalam menghadapi PRN itu?
Sebab itu, saya nyatakan politik di Sabah sangat dinamik, sangat kompleks. BN bekerjasama dengan PH tapi tidak dengan GRS, di ketika sama, PH yang bekerjasama dengan BN pula mempunyai hubungan dengan GRS.
Maka dalam situasi ini ada yang bertanya, penyokong PH akan mengundi parti mana di kawasan yang berlaku pertembungan BN dengan GRS.
Apapun ini keputusan parti, sebagai pemimpin dan ahli serta penyokong kita perlu akur dengan keputusan ini.
Paling penting adalah bagaimana pimpinan dan jentera BN mahu hadapi situasi yang begitu berlainan pada PRN 17 Sabah kali ini. Pasti memerlukan pendekatan dan strategi baru kerana situasinya baru dan berbeza.
Dan dengan dinamiknya politik sebegini, paling utama BN mesti bijaksana meletakkan diri di situasi ini supaya tetap diterima rakyat.
Gerak kerja jentera BN daripada segi penerangan,media, manifesto, bahan kempen,dan sebagainya mesti berbeza serta mampu memperlihatkan BN berkeupayaan serta memiliki kelebihan berbanding parti lain. Ini penting agar BN kekal menjadi pilihan.
Saya percaya di sesetengah tempat, akan berlaku pertandingan bukan dua penjuru, barangkali tiga, malah mungkin lebih dari itu.
Situasi ini, di tengah-tengah kepelbagaian parti politik ini, bagaimana BN nak tonjolkan diri sebagai yang terbaik berbanding lain, ini yang penting untuk dilakukan.
Sebab itu, saya percaya jika UMNO boleh menawarkan barisan calon yang diyakini, integritinya, kualiti kepimpinannya, saya percaya apapun bentuk kerjasama yang berlaku rakyat akan menerimanya kerana melihat UMNO BN terbaik daripada pelbagai parti yang ada.
Apa yang sepatutnya perlu ditekankan supaya UMNO dapat kembali menjadi parti yang dominan?
Apa maksudnya dominan? Kalau dominan dilihat dari segi jumlah kerusi yang bertanding maka jumlah kerusi BN mesti lebih daripada yang lain.
Bagaimana BN mahu menjadi dominan kalau jumlah kerusi bertanding sedikit berbanding parti lain? Kemudian kalau bertanding mestilah perlu menang. Bertanding banyak, menang sedikit kekal tidak boleh menjadi dominan.
Sebaliknya juga kalau jumlah kerusi bertanding sedikit, menang semua juga kekal tidak boleh menjadi dominan.
Di sisi lain pula, secara jujur saya ingin nyatakan kalau di peringkat Persekutuan, daripada 222 kerusi parlimen dipertandingkan, menang 112 kerusi daripadanya memboleh sesebuah parti mendapat majoriti mudah.
Dan jika BN bertanding kurang daripada 112 kerusi, maka apa mesej yang disampaikan kepada rakyat?
Persoalan ini saya biar pembaca memikirkannya. Justeru, pada saya jumlah kerusi bertanding akan memberikan kesan besar kepada sesebuah parti, menjadi dominan atau tidak.
Persoalannya, bagaimana cara BN meningkatkan keyakinan rakyat bagi membolehkan menjadi dominan? UMNO mesti memastikan rakyat lihat UMNO dan BN penting kepada mereka. Ini kerana dalam keadaan dinamika politik ini, bila UMNO kuat serta diyakini sesiapa pun akan bersama. Ini yang paling penting.
BN pada saya tidak boleh lagi mempunyai hanya satu strategi untuk menghadapi situasi politik yang berbeza ini. Kita mesti bersedia dalam semua keadaan ini jika ingin kembali dominan.
Namun begitu UMNO perlu kekal dengan prinsip dan ideologi yang diperjuangkan dan pada masa sama bijaksana menyesuaikan diri dengan perubahan politik yang berlaku.
Desas desus Khairy Jamaluddin mahu sertai semula UMNO, boleh Datuk Seri komen?
Saya tidak berhajat memberi komen mengenainya kerana Presiden UMNO telah menyatakannya.
Namun saya yakin, ahli UMNO khasnya dan rakyat yang menyokong UMNO mahukan parti ini kembali diyakini, dan individu yang berada dalam parti ini mestilah meletakkan parti sebagai keutamaan.
Mereka tidak mahu diantara kita hanya menjadikan UMNO sebagai wadah menjayakan agenda peribadi, maka pada saya kesetiaan pada parti sangat penting.
Justeru apa juga langkah parti mesti ke arah mewujudkan kestabilan dan meningkatkan keyalinan rakyat pada parti.
Kerana, kalau kita turun ke bawah, lihat ahli parti, kebanyakan daripada mereka sebenarnya tidak mendapat apa-apa pun, tapi tahap ketaatan dan kesetiaan kepada parti, tiada harga untuk dibayar.
Kesetiaan dan perjuangan mereka di bawah realitinya lebih ikhlas dari sesetengah kita yang berada di atas.
PERGOLAKAN BERSATU DAN PENYATUAN MELAYU
Apa komen Datuk Seri berkenaan keadaan pergolakan dalam Bersatu ketika ini, yang mana kita tahu kebanyakan pimpinannya juga daripada UMNO?
Saya melihat apa yang berlaku kepada parti lawan sebagai satu cabaran kepada parti untuk kita bersedia dalam apa juga kemungkinan yang berlaku.
Justeru, UMNO di ketika tertentu, mesti melihat apa yang berlaku di hadapannya sebagai isyarat untuk UMNO terus memperkukuhkan parti. Pada sesetengah pihak pula melihat Bersatu sedang berpecah, apabila berlaku pemecatan dan penggantungan beberapa tokoh politiknya.
Namun pada saya, Bersatu sebenarnya tahu apa yang ahli dan penyokongnya inginkan dan kerana itu Bersatu sedang berusaha meletakkan parti dan pemimpin serta sedang memperbetulkan partinya agar mereka mampu bersaing dengan lawannya termasuk UMNO.
Melihat keadaan inilah, pada saya UMNO mesti bersedia menghadapi perubahan yang mereka ingin lakukan dan sentiasa bijaksana membaca langkah politik mereka. Apatah lagi semua MPT Bersatu telahpun bersetuju hentikan kemelut dalaman parti.
Bagaimana Datuk seri melihat usaha penyatuan Melayu dan ummah?
UMNO memang parti yang utamakan kepentingan orang Melayu dan Bumiputera, dan di ketika yang sama menghormati kepentingan kaum serta agama lain, sebagaimana termaktub dalam perlembagaan.
Realitinya, asas penubuhan UMNO sejak 1946 lagi telah jelas mengenai perkara ini. Maka, dalam apa juga tindakan politik UMNO semua ini akan di utama dan dipertahankan.
Hakikatnya politik di Malaysia sudah berubah.
Pasca PRU14 kita tidak pernah terfikir UMNO BN boleh bersama semula dengan Pas seteru politik, walaupun pernah bersama sebelum ini. Kemudian bersama pulak dengan PH yang komponennya terdiri daripada parti yang menjadi musuh utama UMNO. Inilah dinamiknya politik.
Pada saya apa pun langkah dan kerjasama politik yang ingin dilakukan, UMNO mesti kekal dengan identitinya menjaga kepentingan orang Melayu dan Bumiputera yang menjadi asas perjuangan UMNO. Jika ini gagal UMNO pertahankan, orang Melayu dan Bumiputera akan mencari pilihan lain bagi membela nasib dan masa depan mereka. Kerana itu pada saya UMNO tidak pernah menolak penyatuan Melayu dan ummah.
Lantaran itu, pertimbangan teliti perlu dibuat sebelum membuat apa juga keputusan. Dan kita mesti pastikan keputusan yang dibuat membawa manfaat kepada rakyat, bukan hanya kepada parti politik semata-mata kerana rakyat akan menentukan masa depan parti.
Apapun secara peribadi saya senentiasa mengharapkan agar orang Melayu dan Bumiputera kembali bersatu. – MINGGUAN MALAYSIA










