PUTRAJAYA: Kerajaan akan meneliti secara serius laporan dikeluarkan agensi berita antarabangsa, Reuters yang mendakwa gergasi media sosial, Meta memperoleh pendapatan daripada iklan ‘scam’.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, jika laporan itu benar, ia akan menjadi asas kepada kementerian untuk memanggil Meta bagi memberi penjelasan penuh.
Beliau berkata, pihaknya terkejut dengan laporan media antarabangsa itu yang begitu terperinci, memberikan angka berdasarkan dokumen dalaman Meta sendiri.
“Sekiranya benar, ini amat membimbangkan kerana memberi bayangan bahawa antara sumber keuntungan Meta ialah aktiviti haram yang melanggar undang-undang termasuk di Malaysia.
“Saya pernah nyatakan secara terbuka dalam Dewan Rakyat sebelum ini bahawa anggaran keuntungan Meta dari Malaysia mencecah RM2.5 bilion pada tahun 2023.
“Sekiranya laporan Reuters itu benar, bermakna lebih RM250 juta daripada jumlah tersebut datang daripada iklan-iklan scam, judi dalam talian dan penipuan lain,” katanya pada sidang akhbar pasca mesyuarat Kabinet di sini, hari ini.
Katanya, setakat ini, beliau belum melihat sebarang kenyataan meyakinkan daripada Meta sebaliknya hanya penafian bahawa angka itu diambil di luar konteks dan penjelasan itu dianggap tidak memadai.
Pada masa sama, Fahmi berkata, beliau juga kesal laporan berkenaan keluar semalam kerana pasukan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) dan agensi penguatkuasa siber yang lain baru sahaja selesai mengadakan sesi dengan Meta di Singapura.
“Pada masa ini, MCMC telah membuat banyak permohonan kepada Meta untuk menurunkan kandungan bersifat scam dan judi dalam talian.
“Setiap permohonan mengambil masa antara 30 hingga 45 minit untuk diproses. Dari 1 Januari hingga 15 Oktober, jumlah keseluruhan masa yang digunakan bersamaan 22.2 tahun kerja manusia hanya untuk menghantar permohonan kepada Meta,” katanya.
Jelasnya lagi, apabila Akta Keselamatan Dalam Talian (ONSA) berkuat kuasa kelak, platform seperti Meta akan diwajibkan memastikan kandungan penipuan, scam dan judi dalam talian tidak lagi muncul di Facebook Malaysia.
“Sekiranya gagal (kandungan scam gagal ditapis), tindakan perundangan akan diambil terhadap mereka,” katanya.
Reuters semalam mendedahkan, Meta meramalkan kira-kira 10 peratus daripada hasil tahunan 2024 diperoleh daripada iklan yang mempromosikan penipuan dan barangan terlarang.
Pada akhir tahun lalu, Meta secara dalaman mengunjurkan bahawa ia akan memperoleh kira-kira 10 peratus daripada jumlah hasil tahunan bersamaan AS$16 bilion (RM66.9 bilion) daripada iklan yang mempromosikan penipuan dan barangan larangan, menurut dokumen dalaman syarikat. – UTUSAN











