Kes jenayah libatkan pelajar sekolah meningkat di Negeri Sembilan - Utusan Malaysia

Kes jenayah libatkan pelajar sekolah meningkat di Negeri Sembilan

ALFAZNY Ahmad ketika menjadi salah seorang panel pada Program Townhall Discussion- Pendidik Ejen Pencegahan Jenayah Buli Kontinjen Negeri Sembilan di USIM, Nilai, Seremban hari ini.-UTUSAN /NOR SHAFIQAH MOHD. GHAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kes jenayah melibatkan pelajar sekolah di Negeri Sembilan meningkat berbanding tahun lalu.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, walaupun peningkatan itu melibatkan jumlah yang sedikit namun pihaknya tetap member perhatian serius.

Tambahnya, peningkatan itu dikesan menerusi pemantauan harian polis terhadap kes jenayah di dalam dan luar kawasan sekolah.

“Kami lihat hanya ada sedikit peningkatan, iaitu hanya pada kadar 0.2 peratus sahaja berbanding tahun lalu.

“Antaranya membabitkan jenayah buli, gangguan seksual, keganasan dan pukul serta amang seksual,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan serta menjadi panel pada Program Townhall Discussion- Pendidik Ejen Pencegahan Jenayah Buli Kontinjen Negeri Sembilan di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Nilai hari ini.

Dalam pada itu, Alfazny berkata, kebanyakan kes jenayah itu melibatkan pelajar lelaki sekolah menengah manakala pelajar perempuan jarang terlibat dalam kes seumpamanya.

“Polis akan bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan negeri bagi merangka beberapa langkah susulan untuk memastikan keselamatan di sekolah terjamin.

“Antara tindakan yang diambil de gan mempergiat lawatan pegawai perhubungan sekolah, melaksanakan risikan terhadap sekolah berisiko tinggi, serta mengadakan sesi penerangan undang-undang dan kesedaran jenayah kepada pelajar.

“Pelajar perlu tahu apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan supaya mereka sedar tentang kesalahan yang boleh mendatangkan akibat undang-undang,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×