PARIS: Seorang lelaki Perancis yang ketiadaan wang berjaya menampung kos perkahwinannya dengan menjual ruang iklan pada sut perkahwinan miliknya kepada 26 syarikat pemula, sekali gus menjadikan dirinya papan iklan bergerak.
Seorang jurujual dari Perancis, Dagobert Renouf lama berhasrat untuk mengahwini pilihan hatinya, Anna Plynina namun masalah kewangan yang dihadapi hingga menyebabkan dia hampir menjadi gelandangan tidak menghalangnya memberikan majlis idaman kepada wanita yang dicintainya itu.
Pada Julai lalu, Renouf mengumumkan rancangannya di laman X untuk menampung kos perkahwinannya dengan menjadi ‘papan iklan manusia’ dan menawarkan mana-mana syarikat yang mahu mempromosikan produk atau perkhidmatan mereka untuk membeli ruang pada jaket sutnya.
Ciapan itu tular dan dia berjaya mendapatkan 26 jenama pada jaketnya serta memperoleh keseluruhan AS$10,000 (RM41,908) sebagai bayaran iklan.
“Musim panas ini saya benar-benar tidak berduit, hampir menjadi gelandangan, tetapi masih mahu berkahwin dengan isteri saya. Saya meminta bantuan daripada komuniti usahawan saya di media sosial dan seseorang secara berseloroh berkata dia akan beri saya 500 euro (RM2,408) jika dia boleh letak logonya pada sut saya.
“Kemudian idea itu mula menarik perhatian dan orang lain turut mahu melakukannya. Isteri saya pada mulanya tidak menyukainya, tetapi kemudian kami mula melihat peluang ini untuk menghimpunkan komuniti keusahawanan yang saya bina selama bertahun-tahun pada hari istimewa kami,” kata Renouf kepada majalah PEOPLE.
Pada 25 Oktober, Renouf mengahwini Plynina di hadapan 16 tetamu, sambil memakai sut yang memaparkan nama 26 syarikat pemula yang merealisasikan impiannya dengan ramai memuji idea itu.
Projek pengiklanan unik itu juga turut membantu masa depan Renouf apabila seorang usahawan yang kagum dengan dedikasi dan caranya berjaya menjual ruang tajaan dengan pantas menawarkannya pekerjaan di Comp AI, sebuah syarikat pemula yang sedang berkembang pesat di New York.










