Jakim perlu tegas kawal selia halal, elak kekeliruan – Abdul Latiff

Jakim perlu tegas kawal selia halal, elak kekeliruan – Abdul Latiff

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa mengambil tindakan segera berhubung isu penarafan produk Muslim Choice oleh pertubuhan Muslim Friendly Watch yang disifatkan mengelirukan dan menjejaskan keyakinan pengguna Islam.

Ahli Parlimen Kuala Krai Abdul Latiff Abdul Rahman berkata, tindakan kumpulan berkenaan menilai produk dan premis bagi menentukan ‘pilihan Muslim’ wajar disemak semula memandangkan 90 peratus pemerhati yang membuat penilaian bukan beragama Islam.

Katanya, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) disaran memperkukuh kawal selia industri halal melalui beberapa langkah baharu, termasuk mengadakan konsultasi dengan premis dan produk yang masih enggan memohon sijil halal.

“Pembangunan industri halal adalah isu amat penting bagi umat Islam, jangan ada yang mengambil kesempatan.

“Isu terkini ‘Muslim Choice’ oleh pertubuhan Muslim Friendly Watch yang amat mengelirukan. 90 peratus daripada pemerhati adalah bukan islam tetapi bertindak menilai produk bagi menentukan pilihan muslim,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 peringkat Jawatankuasa di Dewan Rakyat, hari ini.

Abdul Latiff turut mencadangkan agar premis di kawasan tumpuan antarabangsa seperti lapangan terbang, hotel bertaraf empat dan lima bintang serta rangkaian kewangan utama diwajibkan mempunyai sijil halal aktif sebagai syarat lesen operasi.

“Jakim perlu menambah baik sistem MYeHALAL dan mempercepatkan proses kelulusan digital supaya peniaga kecil tidak terperangkap dalam birokrasi panjang,” katanya.

Jakim turut disaran bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi menubuhkan pasukan audit halal bagi memastikan pematuhan standard halal sentiasa dipantau dan dikekalkan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×