Gaza terus dibedil, 236 terkorban sejak gencat senjata bermula

Gaza terus dibedil, 236 terkorban sejak gencat senjata bermula

RAKYAT Palestin hanya meminta sebuah negara merdeka, bendera sendiri dan masa hadapan yang terjamin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seramai 236 rakyat Palestin dilaporkan terbunuh sejak perjanjian gencatan senjata mula berkuat kuasa 24 hari lalu, selepas tentera Israel meneruskan siri serangan udara yang menyasarkan kawasan kediaman penduduk di Semenanjung Gaza.

Menurut laporan Pusat Komunikasi Kerajaan di Pejabat Perdana Menteri Palestin, serangan pada minggu lalu sahaja menyaksikan 104 kematian termasuk 46 kanak-kanak dan 20 wanita, selain lebih 250 lagi dilaporkan cedera.

“Serangan itu turut melibatkan pengeboman blok-blok perumahan, sekolah serta kawasan yang dikenal pasti sebagai zon perlindungan awam, sekali gus mencetuskan kebimbangan baharu terhadap keselamatan penduduk di Gaza.

“Sistem kesihatan Gaza kini berada pada tahap kritikal apabila hanya 34 peratus kemudahan perubatan masih berfungsi namun dalam kapasiti terhad, berikutan kekurangan bahan api dan bekalan ubat-ubatan asas,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) memaklumkan beberapa sekolah telah mula beroperasi semula selepas dua tahun pendidikan tergendala akibat kemusnahan infrastruktur.

Kementerian Pendidikan Palestin mengesahkan sejak 7 Oktober 2023, sebanyak 20,080 pelajar terbunuh dan lebih 31,147 cedera, manakala 1,037 guru dan kakitangan pendidikan turut kehilangan nyawa dalam konflik berpanjangan tersebut.

Selain Gaza, keganasan turut meningkat di Tebing Barat apabila kumpulan pelampau penempatan Israel dilaporkan melakukan sekurang-kurangnya 126 serangan ke atas 70 kampung dan bandar Palestin termasuk merosakkan ladang zaitun serta harta awam penduduk.

“Serangan tersebut dilaporkan berlaku dengan kawalan pasukan ketenteraan Israel, termasuk tindakan menghalang pasukan pertahanan sivil Palestin memasuki kawasan kejadian untuk memadamkan kebakaran dan memberi bantuan kecemasan,” katanya.

Selain itu, laporan organisasi hak asasi dan bekas tahanan Palestin mendedahkan peningkatan kes penderaan fizikal dan psikologi terhadap tahanan Palestin di penjara Israel sejak tahun lalu.

Setakat ini, sebanyak 81 tahanan disahkan meninggal dunia ketika dalam tahanan dengan laporan menyebut keadaan penjara tidak memenuhi standard kemanusiaan serta ketiadaan rawatan kesihatan sewajarnya.

Menurut satu laporan oleh Suruhanjaya Siasatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu turut menyimpulkan bahawa Israel bertanggungjawab melakukan empat tindakan bersifat genosid dengan niat memusnahkan penduduk Palestin secara sistematik di Gaza.

Perdana Menteri Palestin, Dr. Mohammad Mustafa berkata, kelewatan pembukaan laluan bantuan serta kekangan terhadap pelan pemulihan akan menyebabkan situasi kemanusiaan di Gaza menjadi lebih serius dan tidak terkawal.

Katanya, pihaknya menyeru masyarakat antarabangsa untuk mendesak Israel menghentikan serangan serta menarik balik sekatan bagi membolehkan proses pemulihan, rekonstruksi dan penstabilan kehidupan penduduk di Gaza dilaksanakan segera. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×