PETALING JAYA: Polymer Link Holdings Berhad (Polymer Link) dijangka mengumpul RM24.3 juta melalui terbitan 97.1 juta saham baharu pada harga tawaran awam permulaan (IPO) 25 sen sesaham bersempena penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad.
Naib Pengerusi Eksekutif/Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Polymer Link, Koh Song Heng berkata, langkah penyenaraian di IPO menandakan peralihan daripada pemain serantau kepada pemain global dalam rantaian bekalan pengacuan putaran.
“Dana yang dikumpul akan disalurkan untuk meluaskan jejak, meningkatkan keupayaan inovasi dan mengukuhkan keupayaan untuk melayani pelanggan merentasi pasaran geografi yang berbeza,” katanya dalam kenyataan.
Menerusi IPO, sebanyak RM5 juta akan digunakan untuk pengembangan operasinya di Australia, keperluan modal kerja kumpulan (RM6.2 juta) dan perbelanjaan modal (RM3.6 juta).
Selain itu, sebanyak RM2 juta akan digunakan untuk pembayaran balik pinjaman bank dan RM7.4 juta untuk anggaran perbelanjaan penyenaraian.
Sebelum ini, kumpulan itu membuat penampilan sulungnya di Pasaran LEAP Bursa Securities pada April 2018 sebelum secara sukarela dinyahsenarai pada Disember 2020 sebagai sebahagian daripada usaha penyelarasan korporat.
Selama bertahun-tahun, ia terus mengembangkan kehadiran pasarannya di seluruh Asia Tenggara, India, Amerika Syarikat (AS) dan Australia, membina reputasi untuk kualiti, inovasi dan responsif dalam segmen khusus industri polimer.
Sementara itu, Ketua Pasaran Ekuiti Hong Leong Investment Bank Berhad, Phang Siew Loong berkata, model perniagaan Polymer Link yang tertumpu, pertumbuhan yang pelbagai dari segi geografi dan rekod prestasi operasi menjadikannya satu cadangan yang menarik dalam landskap perindustrian hari ini.
“Kami berbesar hati untuk menjadi sebahagian daripada peristiwa penting IPO ini dan yakin dengan keupayaan Kumpulan untuk memberikan pertumbuhan yang mampan pada tahun-tahun akan datang,” ujarnya.
Dalam pada itu, Prinsipal Urusan DWA Advisory Sdn. Bhd., Datuk Wan Asmadi Wan Ahmad berkata, perjalanan Polymer Link ke arah penyenaraian awam menandakan satu peristiwa penting bukan sahaja untuk kumpulan, tetapi juga untuk sektor pembuatan Malaysia yang lebih luas, terutamanya dalam industri yang dipacu eksport.
“Kami berbangga kerana telah memainkan peranan dalam perjalanan ini dan berharap dapat melihat Kumpulan merealisasikan fasa pertumbuhan seterusnya sambil ia mengukuhkan kehadiran global dan keupayaan operasinya,” katanya.
Berikutan pelancaran prospektus Polymer Link, permohonan untuk Terbitan Awam dibuka mulai hari ini dan akan ditutup pada 11 November 2025 pukul 5 petang.
Polymer Link dijadualkan disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Securities pada 25 November 2025.
Setelah disenaraikan, Polymer Link akan mempunyai modal pasaran sebanyak RM140 juta berdasarkan harga IPO 25 sen sesaham dan modal saham terbitan yang diperbesarkan sebanyak 560 juta saham. – UTUSAN










