KUALA LUMPUR: Sebanyak 69 peratus projek naik taraf sekolah daif di seluruh negara siap dilaksanakan setakat Oktober lalu.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, daripada 1,473 projek yang dijalankan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), 1,016 projek telah siap manakala selebihnya sedang dilaksanakan secara berperingkat.
Katanya, usaha menaik taraf sekolah daif menjadi antara keutamaan kementerian bagi memastikan murid dan guru dapat belajar serta mengajar dalam persekitaran yang selamat dan kondusif.
“Kementerian Pendidikan (KPM) sentiasa memberi tumpuan kepada sekolah yang dikenal pasti berada dalam kategori daif terutama di Sabah dan Sarawak.
“Projek-projek ini juga dilaksanakan secara berterusan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri dan Kementerian Kerja Raya bagi mempercepatkan proses kelulusan serta pelaksanaan,” katanya ketika sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2026 Peringkat Dasar di Dewan Rakyat, hari ini.
Kah Woh berkata, kerajaan turut memperuntukkan RM100 juta bagi pembinaan bangunan dan blok baharu sekolah tahun depan.
“Peruntukan ini bagi menampung keperluan infrastruktur pendidikan yang semakin meningkat termasuk sekolah padat dan sekolah daif kategori enam dan tujuh.
“Kerajaan komited memastikan fasiliti sekolah berada pada tahap terbaik bagi menjamin kualiti pembelajaran murid di seluruh negara,” katanya. – UTUSAN










