Kerajaan tidak pinggir usahawan Sabah

Kerajaan tidak pinggir usahawan Sabah

EWON Benedick IHSAN/JABATAN PENERANGAN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Golongan usahawan di Sabah tidak pernah dipinggirkan sebaliknya kerajaan komited memberi tumpuan kepada pembangunan keusahawanan di negeri itu.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, pihak kementerian memperkenalkan Dasar Pandang Ke Timur Dalam Negara bagi memberi keutamaan kepada Sabah dan Sarawak tanpa menjejaskan pelaksanaan program sedia ada di seluruh negara.

Katanya, pelbagai langkah telah dan sedang dilaksanakan bagi memperkukuh ekosistem keusahawanan dan gerakan koperasi di Sabah.

“Antaranya termasuk skim pembiayaan khas seperti Skim Pembiayaan Usahawan Tamu dan Usahawan Kraf melalui Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) Nasional serta Program Peningkatan Enterpris Bumiputera (Beep) Plus oleh SME Corp.

“Kementerian juga melaksanakan Projek Pembangunan Premis Tamu Desa bagi menyediakan fasiliti perniagaan yang lebih selesa kepada peniaga dan pengunjung,” katanya ketika menjawab soalan Jonathan Yasin (GRS-Ranau) di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut beliau, kementerian turut menambah cawangan dan kemudahan perbankan agensi di bawahnya seperti Bank Rakyat dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) di negeri berkenaan.

Selain itu, kementerian juga melaksanakan pelbagai program dan karnival keusahawanan di Sabah seperti Hari Koperasi Negara, Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Kebangsaan, serta Karnival Usahawan Madani. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×