Insken bantu usahawan Sabah tingkat hasil jualan - Utusan Malaysia

Insken bantu usahawan Sabah tingkat hasil jualan

EWON Benedick meraikan seramai 110 usahawan pada Majlis Graduasi Program Bimbingan INSKEN Edisi Sabah 2023 di Kota Kinabalu, Sabah
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dua program di bawah bimbingan Institut Keusahawanan Negara Berhad (Insken) berjaya membantu usahawan-usahawan Sabah dengan peningkatan hasil jualan melebihi RM1.64 juta.

Kejayaan itu diraih menerusi dua program Insken iaitu Program Bimbingan Keuntungan Menu dan Program Insken Bumiputera Business Coaching (IBBC) dengan membabitkan 110 usahawan terdiri  antaranya  industri inap desa dan makanan serta minuman.

Insken dalam kenyataan memaklumkan, semua usahawan itu berjaya menamatkan sesi bimbingan jangka masa panjang secara one-on-one bersama pakar industri dengan pecahan peningkatan hasil jualan RM1.64 juta yang terbahagi kepada dua kategori iaitu RM1.5 juta yang dijana oleh 81 usahawan IBBC dan RM113,000 oleh 29 usahawan Program Bimbingan Keuntungan Menu.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, inisiatif program-program latihan dan bimbingan anjuran Insken kepada usahawan mikro dan informal adalah selari dengan beberapa fokus utama yang digariskan untuk direalisasikan seperti mana digariskan dalam Belanjawan 2024.

Katanya, ia bertujuan kelangsungan perniagaan dan seterusnya mewujudkan negara keusahawanan yang unggul.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Insken, Muhd. Firdaus Azharuddin berkata, pendekatan bimbingan ‘daripada usahawan kepada usahawan’ yang diterapkan dalam program bimbingan pihaknya terbukti berhasil.

Tambahan pula katanya, usahawan telah dibimbing memperbaiki setiap komponen keusahawanan yang diperlukan termasuk pengurusan perniagaan, pemasaran, pengiraan kos dan kewangan selain berpeluang mempelajari tips berguna dan amalan terbaik serta boleh dipraktikkan daripada bimbingan pakar industri.

Kejayaan program bimbingan Insken Edisi Sabah 2023 merupakan hasil kolaborasi strategik bersama Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya.

Dalam pada itu, pencapaian program bimbingan INSKEN juga turut merekodkan 30 pekerjaan baharu melalui Program IBBC dan 28 peserta mempunyai medium penghantaran makanan baharu melalui Program Bimbingan Keuntungan Menu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya