SHAH ALAM: Kerajaan negeri akan memutuskan status pemberian pampasan kepada 19 pemilik tanah dekat Kampung Jawa yang terlibat dengan pembinaan Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE), pada mesyuarat pukul 2.30 petang ini.
Exco Perumahan dan Kebudayaan Selangor, Datuk Borhan Aman Shah berkata, pada mesyuarat itu segala penyelesaian dimuktamadkan menerusi pelbagai mekanisme-mekanisme yang akan dibincangkan.
“Pada minggu lepas, kita sudah berbincang secara terbuka berhubung projek WCE dengan semua agensi bersama Menteri Kerja Raya di Kementerian Kerja Raya dan hari ini kita hendak putuskan supaya dapat satu jalan penyelesaian,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Jelasnya, jarak pada seksyen 3 projek tersebut kini berbaki 150 meter bagi diteruskan pembinaannya, namun tergendala berikutan terdapat kekangan daripada pihak yang didakwa mungkin tidak berpuas hati.
“Tetapi ada mekanisme (formula penyelesaiannya). Hari ini kita akan bincangkan supaya dapat diputuskan dan ditegaskan supaya lebuh raya itu dapat diteruskan secepat mungkin.”
Terdahulu, Seksyen 3 Lebuhraya WCE yang merupakan sebahagian daripada tujuh seksyen bernilai RM7.07 bilion itu dilaporkan tergendala lebih 20 bulan apabila isu pembayaran pampasan kepada pemilik tanah di Kampung Jawa belum selesai sepenuhnya.
Bagaimanapun, terdapat 33 pemilik sudah pun menerima pampasan masing-masing berjumlah keseluruhan RM9.8 juta selepas proses undang-undangnya selesai pada 2023.
Selain itu, Borhan turut memaklumkan berhubung cadangan pertukaran status tanah tersebut daripada pertanian kepada komersial akan dipertimbangkan selepas isu pengambilan tanah di kawasan berkenaan selesai.
“Keseluruhan tanah (di kawasan berkenaan) hanya 4.9 ekar (kira-kira 2 hektar). Yang diambil bagi projek WCE hanya 1.9 ekar (kira-kira 0.77 hektar). (Baki) 3 ekar (1.21 hektar) lagi (dicadangkan) akan dikeluarkan status atau geran baharu.
“Status tanah itu (sekarang) adalah tanah pertanian. Kalau ikutkan status tanah, hanya ada boleh satu rumah (setiap pemilik). Di situ nampaknya ada banyak rumah, ada juga bengkel dan stor. Itu melanggar undang-undang tanah,” jelasnya.
Katanya lagi, perkara itu akan diselesaikan pada mesyuarat nanti melibatkan baki 25 peratus. – UTUSAN










