SYARIKAT Malaysia perlu meningkatkan produktiviti, membangunkan bakat tempatan serta menguasai teknologi baharu bagi memastikan daya saing negara kekal kukuh di peringkat global.
Ini selari dengan pengurangan tarif Amerika Syarikat (AS) ke atas eksport Malaysia kepada 19 peratus melalui perjanjian perdagangan timbal balik baharu.
Sebanyak 1,711 barangan eksport Malaysia juga akan menikmati pengecualian tarif apabila memasuki pasaran AS di bawah Perjanjian Perdagangan Timbal Balas Malaysia-AS.
Presiden Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia (MSIA), Datuk Seri Wong Siew Hai berkata, struktur tarif yang rendah dan stabil di rantau ASEAN, bersama pengurangan tarif AS, memperkukuh keyakinan pasaran serta kedudukan Malaysia dalam rantaian bekalan global dan serantau.
“Bagaimanapun, produktiviti, bakat dan teknologi kekal kritikal dalam memastikan daya saing industri semikonduktor negara di peringkat global.
“Tarif boleh menjadi perisai jangka pendek, namun daya saing jangka panjang bergantung kepada inovasi, penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta peningkatan keupayaan industri, bukan perlindungan berpanjangan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Menurutnya, akses pasaran yang lebih luas melalui perjanjian perdagangan bebas (FTA) akan membantu Malaysia mempelbagaikan destinasi eksport dan mengurangkan risiko kesan tarif global.
“Pada masa sama, syarikat tempatan digesa cemerlang dalam teknologi relevan, meningkatkan keberkesanan kos serta menghasilkan produk berkualiti tinggi yang mendapat permintaan global.
“Bagaimanapun, tiada perubahan ketara terhadap kadar tarif bagi sektor elektrik dan elektronik (E&E) dan semikonduktor yang masih menikmati pengecualian di bawah komitmen Malaysia serta rangka kerja serantau seperti Perjanjian Perdagangan Barang ASEAN (ATIGA) dan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP),” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta) Pusat, Datuk William Ng berkata, perjanjian ini memberikan peluang besar kepada perusahan kecil dan sederhana (PKS) tempatan untuk memperluas pasaran ke AS, pasaran pengguna terbesar dunia terutamanya bagi produk niche, perkhidmatan khusus dan barangan pengguna berjenama.
Ujarnya, ini juga memberikan kejelasan dan kepastian peraturan perdagangan kepada pengeksport Malaysia.
“Namun, kami menegaskan keupayaan PKS untuk memanfaatkan perjanjian ini bergantung kepada tahap kesiapsiagaan mereka.
“Mengeksport ke pasaran AS memerlukan pematuhan ketat terhadap piawaian keselamatan produk, pembungkusan, pelabelan, pemenuhan pesanan serta sokongan selepas jualan.
“Bagi memastikan manfaat dirasai secara meluas, Samenta bersedia untuk bekerjasama dengan kerajaan bagi merapatkan jurang keupayaan PKS,” katanya.
Antara langkah yang dicadangkan termasuk penyediaan maklumat terperinci mengenai kod HS yang layak dan garis panduan ‘rule of origin’, akses kepada pembiayaan dan perlindungan risiko eksport, peningkatan kapasiti PKS dalam piawaian dan pensijilan produk serta padanan perniagaan dengan pengedar dan pemborong di pasaran AS, termasuk platform runcit dalam talian.
Menurutnya, tekanan kos domestik seperti logistik, pematuhan dan tenaga kerja masih menjadi cabaran utama yang perlu ditangani agar PKS kekal berdaya saing, bukan sahaja di pasaran eksport tetapi juga dalam mempertahankan pasaran tempatan daripada produk AS yang berjenama kukuh dan berteknologi tinggi.
“Perjanjian perdagangan ini juga dijangka meningkatkan minat pelabur AS untuk menempatkan operasi mereka di Malaysia, sejajar dengan usaha mempelbagaikan rantaian bekalan ke Asia Tenggara.
“Antara sektor yang dijangka menerima manfaat termasuk perkilangan, teknologi digital dan industri bernilai tinggi,” ujarnya. – UTUSAN










