SECARA umumnya, langkah pengurangan tarif dan sekatan bukan tarif secara beransur-ansur dilihat sebagai pendekatan penting dalam merancakkan aktiviti ekonomi negara.
Pelonggaran langkah tersebut dapat membuka ruang lebih luas kepada pemain industri antarabangsa untuk menembusi pasaran domestik.
Tindakan ini bukan sahaja berpotensi meningkatkan daya saing industri tempatan, malah mampu menarik lebih banyak pelaburan langsung asing (FDI) yang menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi.
Pengurangan sekatan dijangka memperkukuh rantaian bekalan serta memperluas akses kepada teknologi dan pasaran baharu.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, ini adalah sesuatu yang perlu dilaksanakan kerana negara juga mahu para pemain industri dari Malaysia boleh berniaga di negara ASEAN dan global.
“Justeru, peralihan ini perlu dilaksanakan dalam kadar yang beransur-ansur supaya dapat memberi ruang kepada para pemain industri tempatan meningkatkan skala ekonomi mereka dan membolehkan mereka bersaing secara sihat dan adil dengan pemain industri luar negara.
“Sudah tentu ini akan melibatkan sumber kerajaan digembeling untuk membina kapasiti bagi para usahawan.
“Tidak kurang juga golongan pekerja perlu dinaik taraf dari segi tahap pendidikan dan kemahiran supaya mereka akan melengkapi ekosistem perniagaan dari sudut bakat atau modal insan yang akan dapat meningkatkan produktiviti bagi perniagaan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Sementara itu, Profesor Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Mohd. Rizal Palil berkata, struktur tarif tempatan perlu dikekalkan, malah terdapat cadangan untuk menurunkannya bagi menarik lebih banyak pelabur asing ke Malaysia.
Katanya, walaupun tarif rendah mungkin kelihatan merugikan dalam jangka pendek, langkah ini dijangka meningkatkan daya saing negara dan menambah hasil cukai dalam jangka panjang.
“Dasar tarif dan sektor strategik tidak semestinya berkait langsung dengan pertumbuhan eksport, sebaliknya kualiti keluaran tempatan dilihat sebagai faktor utama yang menentukan prestasi eksport negara,” katanya.
Mohd. Rizal berkata, eksport akan meningkat secara semula jadi jika produk tempatan mengekalkan standard kualiti yang tinggi dan konsisten.
“Yang lebih penting ialah kualiti keluaran kita. Dengan kualiti yang baik, eksport secara tak langsung akan meningkat,” katanya.
Beliau menegaskan sektor strategik perlu dijaga dengan teliti dan kualiti produk harus sentiasa berada pada tahap optimum. Hanya dengan kualiti yang tinggi, pertumbuhan eksport dapat dipacu dengan lebih baik.
“Pembeli atau pengimport tetap akan membeli barangan kita yang berkualiti walaupun tarif dinaikkan secara perlahan-lahan,” jelasnya.
Tambahnya, dalam era perdagangan global terbuka, konsistensi kualiti, kebolehpercayaan bekalan dan nilai jenama menjadi faktor utama yang menarik pelabur dan pengimport ke pasaran Malaysia.
Beliau menegaskan, pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 minggu lalu, ASEAN harus bersatu dalam banyak hal terutamanya yang melibatkan pengukuhan ekonomi ASEAN.
“Ahli serantau sudah tidak boleh lagi bersifat penting diri dalam usaha untuk kekalkan daya saing ekonomi rantau ASEAN,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, ketika dunia sedang melalui era peralihan menuju ekonomi hijau dan digital, timbul persoalan sama ada tarif masih relevan sebagai alat dasar perdagangan utama.
“Ekonomi hijau dan ekonomi digital hanya arus perubahan teknologi serta kesedaran terhadap kelestarian alam sekitar.
“Namun, dalam konteks perdagangan antarabangsa, tarif dan kualiti produk kekal sebagai dua ‘peluru berpandu’ utama dalam memperkukuh kekuatan ekonomi sesebuah negara untuk jangka panjang,” katanya.
Terdahulu, Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) telah menandatangani Perjanjian Perdagangan Timbal Balik antara kedua-dua negara.
Perjanjian tersebut ditandatangani antara Presiden AS, Donald Trump dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-47. – UTUSAN










