DAR ES SALAAM: Presiden Tanzania, Samia Suluhu Hassan diumumkan menang besar dalam pilihan raya dengan hampir 98 peratus undi, sementara pihak pembangkang mendakwa ratusan rakyat terbunuh akibat tindakan keras pasukan keselamatan.
Suruhanjaya pilihan raya negara itu mengesahkan Samia memperoleh 97.66 peratus undi dengan kadar keluar mengundi mencecah 87 peratus, meskipun wartawan AFP dan pemerhati lain melaporkan banyak pusat mengundi kelihatan lengang sepanjang proses pengundian.
Samia, 65, yang mengambil alih kepimpinan selepas kematian bekas presiden, John Magufuli berhasrat mengukuhkan kedudukannya dalam parti pemerintah dan menutup mulut pengkritik menerusi kemenangan besar ini, dibantu oleh hakikat bahawa calon pembangkang utama telah dipenjarakan atau digugurkan pencalonan mereka.
Namun, tindakan keras pihak berkuasa dan ketiadaan pilihan politik nyata mencetuskan protes besar-besaran di seluruh negara.
“Kerajaan dengan tegas mengecam dan menolak insiden-insiden tersebut.
“Apabila melibatkan keselamatan negara, tiada pilihan lain selain menggunakan segala langkah pertahanan yang perlu,” kata Samia ketika menerima sijil kemenangan secara langsung di televisyen nasional.
Parti pembangkang utama, Chadema, memberitahu AFP tidak kurang daripada 800 orang dibunuh oleh pasukan keselamatan sejak Rabu lalu.
Sumber keselamatan dan seorang diplomat di Dar es Salaam turut mengesahkan kepada AFP, jumlah korban mencecah ratusan orang namun kesahihan angka itu sukar dipastikan kerana gangguan internet masih berterusan pada Sabtu.
Jurucakap Chadema, John Kitoka menyifatkan keputusan pilihan raya itu sebagai penghinaan terhadap proses demokrasi dan menuntut pilihan raya baharu diadakan.
“Kami akan mengumumkan tindakan susulan, termasuk kemungkinan menggesa protes di seluruh negara,” katanya. -AFP










