437,046 khazanah, arkeologi berharga direkodkan di Muzium Malaysia - Utusan Malaysia

437,046 khazanah, arkeologi berharga direkodkan di Muzium Malaysia

TUANKU Syed Sirajuddin Jamalullail pada majlis perasmian Fiesta Uniti@Muzium Kota Kayang dan Rumah Hijau di Muzium Kota Kayang, Kangar, Perlis hari ini.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Sebanyak 437,046 khazanah berharga termasuk koleksi arkeologi direkodkan di Jabatan Muzium Malaysia sejak lebih 60 tahun iaitu dari 1963 hingga 2024 sekali gus menjadikan institusi tersebut antara penjaga warisan dan identiti negara bangsa paling penting di negara ini.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 322,966 koleksi arkeologi direkodkan di muzium itu merangkumi serpihan seramik, alat batu, logam dan kayu, manik, arca batu serta arang.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, selain itu, terdapat 37,414 koleksi etnologi yang menampilkan pelbagai khazanah kebudayaan seperti perhiasan diri, tekstil tradisional, senjata, alat muzik, topeng, wayang kulit, setem dan mata wang.

Selain itu lagi, katanya, terdapat sebanyak 76,666 spesimen alam semula jadi turut dipelihara membabitkan spesies burung, mamalia, amfibia, reptilia, serangga, tumbuhan botani serta spesimen geologi.

Bagaimanapun katanya, menjadi cabaran muzium kini bukan sekadar menjaga artifak tetapi mengubah persepsi rakyat mengenainya.

“Justeru, Kementerian Perpaduan Negara melalui Jabatan Muzium Malaysia memperkenalkan pelbagai inisiatif yang lebih dinamik dan inklusif seperti Fiesta Uniti ini.

“Pendekatan baharu ini mengubah ruang pameran menjadi tempat interaksi sosial dan pembelajaran selain tempat di mana keluarga bersantai, pelajar meneroka dan masyarakat boleh mengenal akar budaya masing-masing dalam suasana terbuka dan inklusif.

“Lebih penting lagi, sejarah yang dipamerkan di muzium bukan sekadar memaparkan kisah masa lalu, tetapi menjadi asas kepada pembinaan sebuah negara bangsa yang harmoni sejahtera,” katanya pada majlis perasmian Fiesta Uniti@Muzium Kota Kayang dan Rumah Hijau di Muzium Kota Kayang sini hari ini.

Majlis perasmian tersebut disempurnakan oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan berangkat sama, Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid.

Aaron Ago berkata, bermula tahun depan, Kementerian Perpaduan Negara akan memperkenalkan hala tuju baharu iaitu Pembinaan Negara Bangsa selaras dengan mandat diberikan dibawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Katanya, penekanan utama diberikan kepada usaha membina sebuah negara bangsa yang berdaulat, bermaruah dan utuh demi menjamin keharmonian, keagamaan serta kestabilan negara.

“Sejajar dengan itu, perpaduan negara yang berpaksikan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara akan terus dijadikan asas dalam memperkukuh identiti kebangsaan. Muzium antaranya merupakan salah satu wadah penting dalam usaha membina negara bangsa,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×