JOHOR BAHRU: Kementerian Perpaduan Negara (KPN) melaksanakan tiga langkah strategik mentransformasikan sektor permuziuman negara agar terus relevan serta berdaya saing selari perkembangan semasa.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, langkah tersebut dibuat menerusi Jabatan Muzium Malaysia bagi memastikan institusi muzium bukan sekadar berperanan sebagai pusat simpanan artifak tetapi turut menjadi medium pendidikan dan pembangunan masyarakat.
Katanya, langkah strategik pertama adalah memperkenalkan Geran Padanan Muzium bertujuan memperkasa pembangunan sektor permuziuman negara termasuk memperkukuhkan kemudahan dan aktiviti muzium.
“Langkah kedua pula melibatkan penggubalan Rang Undang-undang Muzium Malaysia (RUUMM) yang akan memperkukuh aspek tadbir urus sektor permuziuman lebih menyeluruh.
“Langkah ketiga adalah pembangunan Muzium Alam Semula Jadi Malaysia di Putrajaya sekali gus merealisasikan perancangan yang dibuat sejak tahun 1989,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Festival Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan (FHMAPK) 2026 di sini semalam.
Tambah Aaron, projek itu merupakan antara inisiatif strategik negara dalam usaha memperkukuhkan aspek pemeliharaan, pendidikan biodiversiti dan warisan alam semula jadi negara.
“Sehingga kini, Muzium Alam Semula Jadi telah menyimpan sebanyak 76,666 spesimen merangkumi 73,934 koleksi zoologi, 2,075 koleksi botani dan 657 koleksi geologi.
“Koleksi tersebut bukan sahaja mempunyai nilai saintifik tinggi malah menjadi sumber rujukan penting dalam penyelidikan, pendidikan dan pemuliharaan warisan alam negara.
“Ketiga-tiga inisiatif dilaksanakan itu membuktikan komitmen Kerajaan Madani dalam memperkasa institusi muzium sebagai wadah pendidikan, pemeliharaan warisan, pembangunan modal insan serta pembinaan negara bangsa,” katanya.
Beliau berkata, institusi muzium perlu terus menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi termasuk penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan pendigitalan melalui pendekatan penyampaian lebih interaktif bagi menarik minat masyarakat terutama generasi muda.
FHMAPK 2026 yang bertemakan Museums Uniting a Divided World berlangsung selama lima hari bermula semalam sehingga 28 Jun ini. – UTUSAN










