Ujian saringan awal barah elak kanser

Ujian saringan awal barah elak kanser

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WALAUPUN barah terus menjadi salah satu punca kematian dalam kalangan wanita dan lelaki di negara ini, dengan lebih 50,000 kes baharu barah direkodkan setiap tahun berada pada tahap lewat, masih ramai memandang remeh ujian saringan bagi mengesan awal barah terutama barah payudara.

Malah Kementerian Kesihatan turut mengesa orang ramai untuk mengambil langkah perlu terutama menjalankan ujian saringan dan pemeriksaan kesihatan disebabkan pengesanan lewat bukan saja akan membataskan rawatan tetapi juga meningkatkan kos penjagaan kesihatan.

Exco Kesihatan Awam dan Persekitaran Selangor, Jamaliah Jamaluddin berkata, kerajaan negeri mengamalkan pendekatan mudah iaitu pencegahan dan pengesanan awal bagi menyelamatkan nyawa.

“Pencegahan dan pengesanan awal mampu menyelamatkan nyawa. Di masa depan, Selangor akan terus mengembangkan program pencegahan kesihatan termasuk memperluaskan saringan kanser dan mengintegrasikan data kesihatan menerusi aplikasi SELangkah.

“Ini bagi memastikan setiap penduduk boleh mendapatkan penjagaan kesihatan pada masa tepat. Setakat ini, seramai 32,000 penduduk Selangor sudah menjalani ujian saringan pelbagai penyakit termasuk barah di bawah Program Selangor Saring 2025 sejak ia dilancarkan pada awal Februari lalu,” katanya pada pelancaran OncoCare Cancer Centre di Hospital Thomson Kota Damansara yang menyediakan khidmat holistik bermula daripada saringan awal dan diagnosis, hingga rawatan serta sokongan pasca rawatan.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Kesihatan Tamarind, Grace Chung, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pakar Perunding Kanan Onkologi Klinikal bagi OncoCare Malaysia, Dr. John Low Seng Hooi dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Thomson Kota Damansara, Dr. Siva Kumaran.

Kata Jamaliah, ujian saringan itu berjaya mengesan awal pelbagai penyakit termasuk barah yang membolehkan orang ramai mendapatkan rawatan awal.

Program melalui Inisiatif proaktif seperti Bantuan Sihat Selangor (BSS) dan Iltizam Selangor Sihat (ISS) diharapkan dapat mengurangkan kadar kelewatan mengesan penyakit dan menyelamatkan nyawa.

Menurut Laporan Pendaftaran Kanser Kebangsaan, kanser kekal sebagai antara tiga penyebab utama kematian di Malaysia, dengan kanser payudara, kolorektal dan paru-paru menjadi yang paling lazim

Jamaliah berkata, penubuhan pusat dengan fasiliti antarabangsa itu adalah langkah mengukuhkan lagi penjagaan ekosistem barah di dalam negara dengan kerjasama pakar, teknologi dan empati.

“Sebanyak 28 kerusi kemoterapi disediakan dan pasukan pakar onkologi, pusat ini mewakili harapan yang tidak terkira kepada pesakit dan keluarga. Ia juga menunjukkan penjagaan perubatan yang bukan saja berkualiti tinggi tetapi diiringi dengan empati oleh pihak perubatan,” katanya.

Rawatan bersepadu

Sementara itu, Dr. John Low Seng Hooi berkata, pesakit kini boleh mendapatkan khidmat menyeluruh daripada saringan awal dan diagnosis, hingga rawatan serta sokongan pasca rawatan di lokasi yang sama.

“Rawatan bersepadu ini turut disokong oleh kemudahan pembedahan, diagnostik dan radioterapi di Thomson Hospital.

“Kerjasama ini untuk memastikan setiap pesakit mendapat akses kepada penjagaan berterusan daripada diagnosis hingga rawatan serta perkhidmatan sokongan seperti kaunseling genetik, pemakanan dan penjagaan paliatif.

“Pusat ini menawarkan diagnostik molekul, perancangan radioterapi berasaskan AI serta perubatan ketepatan seperti terapi disasarkan dan imunoterapi. Pesakit turut menerima sokongan

komprehensif seperti kaunseling genetik untuk pesakit dan keluarga, bimbingan pemakanan dan psikososial, penjagaan paliatif serta program pemulihan selepas rawatan,” katanya.
Gejala umum barah

Umumnya barah menunjukkan gejala tidak khusus tetapi antaranya boleh menyebabkan penurunan berat badan tanpa sebab yang tidak dapat dijelaskan atau kehilangan selera makan.

Pesakit juga mudah berasa letih dan lesu sepanjang masa dan rasa keletihan melampau ini berbeza dengan rasa letih biasa. Ujian saringan boleh mengesan sekiranya terdapat sebarang petanda.

Bagi barah payu dara, ketulan pada payudara biasanya boleh dirasakan. Ada juga ketulan berlaku di bawah lengan dan ketiak. Anda juga perlu memerhatikan perubahan pada kulit payudara atau pengeluaran cecair daripada puting.

Pemeriksaan payudara sendiri boleh dilakukan di rumah. Pemeriksaan mamogram digalakkan ke atas wanita berusia 40 tahun ke atas. Saringan juga boleh dilakukan menerusi ultrasound.

Batuk yang berterusan, sesak nafas, sakit dada, suara serak dan batuk berdarah pula adalah petunjuk kanser paru-paru. Ujian saringan kanser paru-paru yang paling utama adalah Imbasan CT dos rendah (LDCT). Ujian lain termasuk X-ray dada, Imbasan PET-CTb dan imbasan MRI, yang membantu mengesan perubahan atau penyebaran sel kanser.

Kanser serviks atau pangkal rahim biasanya menunjukkan gejala seperti pendarahan tidak normal, terutamanya antara haid atau selepas menopaus dan keputihan berbau. Kanser Ovari pula menyebabkan perut terasa kembung berterusan, sakit perut atau pelvis dan rasa kenyang dengan cepat. Ia boleh dikesan awal dengan menjalani ujian pap smear.

Kanser prostat menunjukkan petanda kesukaran membuang air kecil, aliran air kencing yang lemah dan kerap membuang kecil. Ia boleh dikesan dengan ujian antigen spesifik prostat (PSA) iaitu ujian darah yang mengukur tahap protein yang dihasilkan oleh kelenjar prostat. Pemeriksaan rektum digital (DRE) juga boleh dilakukan.

Kanser Perut pula akan menyebabkan rasa sakit atau rasa tidak selesa di bahagian atas perut, rasa kenyang selepas makan walaupun hanya makan sedikit makanan, loya, muntah, najis berdarah dan pedih ulu hati. Ujian kanser perut dan usus yang utama adalah endoskopi (untuk perut) dan kolonoskopi (untuk usus besar).

Sekiranya terdapat perubahan corak pembuangan air besar seperti cirit-birit atau kerap sembelit, najis berdarah, sakit perut, dan rasa usus tidak dikosongkan dengan sempurna selepas

membuang air besar, ia mungkin petanda barah usus.

Jika anda mengalami gejala-gejala ini, terutamanya jika ia berterusan atau teruk, penting berjumpa dengan doktor segera untuk diagnosis dan rawatan tepat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×